AM

RUMAH MAKAN PERCUMA SEDIA 500 PEK JUADAH BERBUKA SETIAP HARI

24/02/2026 12:53 PM

ALOR SETAR, 24 Feb (Bernama) -- Rumah Makan Percuma (RMP) yang diasaskan sebuah syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam di sini, kembali menggiatkan usaha murni dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma kepada orang ramai.

Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd Jaffri Ahmad berkata program yang masuk tahun kelima itu menjadi tradisi tahunan syarikat sebagai tanda syukur dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu meringankan beban masyarakat, terutamanya golongan asnaf dan yang memerlukan.

“Kami mula buat program pemberian juadah berbuka puasa ini pada 2021 secara kecil-kecilan dan sekarang, setiap hari sepanjang Ramadan, dianggarkan 450 hingga 500 pek makanan akan disediakan untuk diberikan kepada orang ramai.

“Menu utama berasaskan ayam, contohnya ayam masak merah. Setiap pek makanan yang diberikan itu lengkap dengan nasi, ayam, sayur-sayuran dan sambal belacan, dan kami juga akan beri kuih-muih yang disumbangkan orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata proses penyediaan bahan masakan dibuat seawal 10 pagi di RMP yang terletak di Simpang Empat Kangkong di sini, sebelum proses memasak bermula sekitar 11 pagi dan selesai sepenuhnya dua jam kemudian.

“Lima pekerja diberi tanggungjawab untuk menyediakan makanan. Selepas proses memasak siap, mereka mula membungkus dan proses pemberian akan bermula pada 5 petang tetapi kebiasaannya orang sudah mula beratur seawal 4.30 petang.

“Sambutan memang baik dan syukur kerana kami dapat pastikan semua orang mempunyai juadah untuk berbuka puasa tetapi saya minta supaya ambil makanan ikut keperluan, jangan membazir supaya mereka yang lebih memerlukan dapat menikmati juadah yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Noor Ashani Alias, 35, dari Kampung Bahagia di sini berkata dia, suami Abu Bakar Abdullah, 54, dan dua anak lelakinya berusia sembilan dan 11 tahun datang ke RMP seawal 4.30 petang untuk mengambil makanan.

“Saya datang pada hari pertama puasa tetapi makanan sudah habis, hari seterusnya saya datang awal bagi mendapatkan juadah berbuka. Memang bersyukur sangat kerana saya dan suami tidak mempunyai pendapatan tetap. Jadi, ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan kami,” katanya.

Bagi Muhammad Saiful Abdullah, 52, dari Kota Sarang Semut, dia datang mengambil makanan di RMP sejak hari pertama puasa untuk juadah berbuka buat diri sendiri dan ibunya yang berusia 82 tahun.

“Saya dan ibu tinggal berdua sahaja dan keadaan ibu sudah uzur. Jadi, memang saya akan singgah ambil makanan dahulu sebelum pulang berbuka puasa dengan ibu di rumah dan usaha yang dibuat oleh Ayam Bismi ini memang banyak membantu meringankan beban kami yang kurang berkemampuan ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan