DUNIA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING MATA WANG UTAMA KECUALI DOLAR AS

24/02/2026 07:17 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Selasa didorong oleh isu berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan sentimen pasaran, kata ahli ekonomi.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama dan ASEAN.

Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 3.8915/8980 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden Donald Trump tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, malah dilihat secara agresif mencari saluran perundangan lain untuk melaksanakan tarif yang lebih tinggi selepas Mahkamah Agung AS membatalkan dasar tarif beliau yang berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

“Oleh itu, tahap ketidaktentuan pasaran meningkat walaupun terdapat kelegaan sementara susulan keputusan Mahkamah Agung itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mata wang tempatan berada dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini.

Terdahulu, ringgit mencecah 3.87 berbanding dolar AS pada 3.8790/9010, paras kali terakhir dilihat pada 13 April 2018, apabila dicatatkan pada 3.8785/8815.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4968/5011 daripada 2.5120/5147 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.5873/5950 daripada 4.5888/5935.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding pound kepada 5.2531/2619 daripada 5.2526/2580 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0726/0780 daripada 3.0727/0761 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.2/231.7 daripada 231.4/231.7 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.75 daripada 6.75/6.76 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5463/5726 daripada 12.5342/5532 semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan