AM

WALKIE-TALKIE TIDAK DIPERAKUI BERISIKO ANCAM KESELAMATAN, PENERBANGAN - TEO

26/02/2026 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Penggunaan walkie-talkie yang tidak diperakui berisiko mencetuskan gangguan mudarat terhadap perkhidmatan komunikasi kritikal negara termasuk pasukan keselamatan, kecemasan serta radio navigasi penerbangan dan maritim.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kelengkapan walkie-talkie yang tidak mematuhi standard juga boleh menimbulkan risiko keselamatan pengguna termasuklah renjatan dan kebakaran, khususnya semasa aktiviti pengecasan.

Justeru, katanya, semua pihak perlu mendapat perakuan kelengkapan komunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Penting untuk memastikan setiap kelengkapan komunikasi, termasuk walkie-talkie, mematuhi kod teknik dan standard yang ditetapkan, yang diselaraskan dengan rujukan dan amalan antarabangsa.

“Ia merangkumi aspek keselamatan elektrik, keserasian elektromagnetik (EMC), kebolehkendalian dan penggunaan frekuensi radio,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang membangkitkan isu tentang ketidakadilan sistemik pensijilan MCMC dan kehilangan daya saing pengedar sah walkie-talkie tempatan.

Teo berkata proses perakuan itu bukan satu prosedur birokrasi, sebaliknya benteng keselamatan teknikal negara.

Mengulas tentang statistik penguatkuasaan, beliau berkata MCMC telah menyita 314 unit walkie-talkie bernilai RM24,682 bagi tempoh 2021 hingga 2025 dalam usaha memperketat penguatkuasaan terhadap kelengkapan komunikasi tidak diperakui.

Bagi tempoh sama, katanya, terdapat 74 kes disiasat atas pelanggaran Seksyen 239 Akta 588 dan pelanggaran standard teknikal di bawah peraturan berkaitan, dengan 28 kes telah dituduh di mahkamah melibatkan denda keseluruhan RM243,500, manakala dua kes dikenakan kompaun RM1,000 setiap satu.

Pada masa sama, beliau berkata MCMC dan SIRIM Bhd melaksanakan pengawasan pasaran termasuk pembelian terus kelengkapan komunikasi di premis fizikal dan platform dalam talian bagi tujuan pengujian dan pengesahan pematuhan.

Teo berkata tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 239 Akta 588 bagi pelanggaran standard teknikal di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 pula, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata dari 2022 hingga 2025, MCMC telah mengeluarkan 112 Notis Penurunan kepada platform e-dagang melibatkan penurunan 21,151 pautan penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui termasuk 3,175 pautan membabitkan walkie-talkie.

“Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pengendali platform e-dagang yang didapati secara sengaja dan berulang kali gagal mengambil tindakan selepas notis diberikan,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan