EKONOMI

FMM JALIN KERJASAMA DENGAN EMPAT UNIVERSITI GALAK PERALIHAN DARI OEM KE OBM

26/02/2026 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat universiti bagi menggalakkan pengeluar tempatan beralih daripada Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) kepada Pengeluar Jenama Tulen (OBM).

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata adalah penting bagi pengeluar Malaysia untuk bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi melalui penggunaan pembuatan pintar dan keupayaan kejuruteraan maju.

“Kami menandatangani MoU dengan UCSI University, Monash University Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Sunway University hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama akademik-industri supaya kita dapat bersaing melalui teknologi dan inovasi, bukannya bergantung semata-mata pada produk berharga rendah,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.

Lee berkata FMM sebelum ini telah menandatangani MoU dengan enam universiti lain dan, dengan penyertaan empat institusi baharu ini, perkongsian akademik-industri dijangka dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) di Malaysia.

“Kami menjangkakan lebih banyak kerjasama bersama universiti. Dari perspektif FMM, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk meneroka cara mengintegrasikan keperluan industri ke dalam kurikulum akademik.

“Kami juga berhasrat membawa pelajar universiti, termasuk pensyarah dan profesor, ke dalam industri supaya sistem pendidikan kita menjadi lebih berorientasikan industri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan