KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Peningkatan nilai ringgit kira-kira 10 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025 telah menurunkan kos teknologi dan peralatan yang diimport, menjadikannya masa sesuai untuk menerima pakai perisian dan jentera baharu, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee Chor Kok.
Beliau berkata ia memberi peluang kepada pengeluar terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempercepatkan transformasi teknologi mereka.
“Mesin yang kami gunakan kini kira-kira 10 peratus lebih murah. Malah perisian dan teknologi lain yang diguna pakai dari luar negara harganya agak lebih berpatutan. Ini tepat pada masanya kerana kami mahu meningkatkan rantaian nilai.
“Masa tidak menunggu kita. Kita perlu merebut peluang ini untuk mempercepatkan penggunaan teknologi dan peralatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Majlis FMM di sini hari ini.
Ditanya mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap sektor pembuatan, Lee berkata situasi ini mempunyai kesan yang seimbang terhadap industri kerana ia mencerminkan keyakinan pelabur asing bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan betul.
“Kerajaan kita telah memulakan langkah rasionalisasi ekonomi seperti melakukan pembaharuan terhadap subsidi. Kita mempunyai pelan tindakan yang kukuh untuk membina ekonomi inklusif dan moden.
“Bagaimanapun, terdapat sedikit tekanan terhadap perniagaan berorientasikan eksport kerana pembeli mungkin perlu membayar sedikit lebih untuk produk Malaysia,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ringgit telah mengukuh sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar AS pada 2025 dan meningkat antara 1.5 dan 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau yang lain.
Amir Hamzah menjelaskan walaupun ringgit melonjak, nilai eksport Malaysia terus meningkat.
Beliau berkata prestasi eksport negara tidak bergantung semata-mata pada faktor kos atau pergerakan mata wang tetapi disokong oleh kapasiti pengeluaran yang kukuh dan integrasi mendalam ke dalam rantaian bekalan global.
Mengulas mengenai ketidakpastian berkaitan tarif AS dan potensi kesannya terhadap Malaysia, Lee berkata tarif telah mewujudkan ketidakpastian pasaran yang ketara sepanjang tahun lepas dan adalah lebih baik bagi industri untuk menunggu kejelasan.
“Kita telah menghadapi ketidakpastian ini. Tidak banyak yang boleh kita lakukan buat masa ini dan tidak perlu panik. Kita harus menunggu sehingga keadaan menjadi lebih jelas sebelum memutuskan tindak balas sesuai.
“Masih terdapat banyak faktor tidak menentu. Pada Jumaat, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mungkin akan membuat pengumuman dan selepas itu, kita akan melihat bagaimana kita boleh selaras dengan kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
