AM

307 KIR TERMASUK MUALAF ORANG ASLI TERIMA BAKUL MAKANAN SEMPENA RAMADAN

27/02/2026 08:55 PM

GUA MUSANG, 27 Feb (Bernama) -- Sebanyak 307 ketua isi rumah (KIR) di Kelantan termasuk mualaf Orang Asli menerima bantuan bakul makanan bernilai hampir RM50,000 sempena Ramadan tahun ini.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Yusnita Muhamed Yusoff berkata bakul makanan itu adalah sumbangan zakat daripada Bank CIMB kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata setiap KIR menerima barangan dapur bernilai RM150 untuk dimanfaatkan sepanjang Ramadan.

“Pihak YADIM dan CIMB telah memilih empat lokasi pemberian bakul makanan pada tahun ini iaitu di Kota Bharu, Pasir Putih dan dua lokasi di Gua Musang meliputi Pos Tuel serta Kampung Bawik di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

“Setiap tempat ini turut disertai seorang dai untuk bersama-sama menjayakan program pengagihan sumbangan,” katanya kepada pemberita selepas program Harapan Ramadan CIMB Bank/YADIM Kelantan Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Bawik di sini hari ini.

Yusnita berkata penerima dibekalkan 17 jenis makanan asas termasuk beras, gandum, gula, kicap dan makanan dalam tin.

Seorang penerima, Rita Adai, 54, berkata bantuan itu amat bermakna kepada komuniti Orang Asli dalam menyediakan juadah.

“Saya berterima kasih kepada CIMB dan YADIM yang telah menyumbang barangan bakul makanan untuk keluarga Orang Asli. Kami berasa bersyukur bantuan itu dapat meringankan beban terutama keluarga yang mempunyai anak ramai serta bergantung kepada tanaman sara diri seperti ubi dan sayur-sayuran kampung,” katanya.

Program berkenaan juga antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan sempena Ramadan bagi membantu golongan memerlukan di negeri ini.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan