KUANTAN, 28 Feb (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mencemar duli berangkat menyantuni dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub.
Baginda menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan nasib dua beradik berkenaan iaitu Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi,19, dan Ahmad Balia Murqam,15, dengan menitahkan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi membela nasib mereka terutama membabitkan penjagaan dan pendidikan.
“Selain menitipkan nasihat dan kata-kata semangat, baginda turut menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan baginda sendiri,” menurut hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang malam ini.
Kebakaran pada awal pagi Khamis lepas telah mengorbankan Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.
Ruby Adalia Balqis yang merupakan pelajar matrikulasi di Gambang, di sini manakala Ahmad Balia Murqam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong terselamat kerana tiada di rumah ketika insiden menyayat hati itu berlaku.
-- BERNAMA
