AM

JOHOR SPECIALIST HOSPITAL TAWAR PEMBEDAHAN JANTUNG INVASIF MINIMUM DI WILAYAH SELATAN

02/03/2026 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Johor Specialist Hospital (JSH) berjaya melaksanakan pembedahan jantung invasif minimum (MICS) yang pertama, sekali gus memperluas kapasiti dan keupayaan klinikal pembedahan jantung berteknologi tinggi di wilayah Selatan menerusi KPJ Health System (KPJHS).

KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam kenyataan memaklumkan, dengan perkembangan berkenaan pesakit kini berpeluang mendapatkan prosedur MICS terpilih, yang lebih dekat dengan kediaman mereka.

“Prosedur pertama itu telah dilaksanakan secara kolaboratif oleh pasukan pembedahan jantung JSH yang diketuai oleh Dr Syed Adeeb dan Dr Wong Teck Fui, dengan sokongan bimbingan daripada pasukan Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) yang dipimpin oleh Profesor Dr Shahrul Amry Hashim.

“Kerjasama ini mencerminkan penerapan model KPJ Health System. Bimbingan kepakaran dan penyelarasan standard klinikal menyokong pengembangan program secara selamat serta mengukuhkan kepakaran dalaman.

"Pengenalan MICS di JSH mencerminkan pendekatan berstruktur dalam memperkasakan keupayaan pembedahan khusus di seluruh rangkaian, tanpa menumpukan prosedur kompleks di satu lokasi sahaja. Program ini dilaksanakan melalui persiapan klinikal secara berperingkat di bawah rangka KPJHS," menurut kenyataan itu.

Prosedur MICS membolehkan pesakit terpilih menjalani prosedur dengan insisi yang lebih kecil, mengurangkan trauma pembedahan serta potensi pemulihan yang lebih cepat berbanding pembedahan jantung terbuka konvensional. 

"Pelaksanaannya di JSH mencerminkan peluasan keupayaan ini dalam kerangka yang terkawal serta dipandu oleh tadbir urus yang jelas," menurut kenyataan itu.

Mengulas pencapaian berkenaan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pengenalan MICS di JSH menunjukkan keupayaan khusus boleh diperluas secara terkawal dalam kerangka KPJHS.

"Melalui latihan berstruktur, penyelarasan standard klinikal serta kerjasama multidisiplin, kami dapat mempertingkat perkhidmatan rawatan jantung merentasi wilayah sambil memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit terus terpelihara," katanya.

Perunding dan Pakar Bedah Kardiotorasik JSH Dr  Syed Mohd Adeeb Syed Jalaludin pula berkata pengenalan MICS memperkukuh perkhidmatan kardiak bersepadu di JSH serta meningkatkan akses kepada pembedahan jantung kompleks yang lebih dekat dengan kediaman pesakit.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan