KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Syarikat bioteknologi Malaysia SATEERA Sdn Bhd dan jenama kebersihan wanita REDFORES hari ini menerima pengiktirafan Rekod ASEAN dan Rekod ASIA atas sumbangan merintis usaha dalam inovasi antijangkitan terpilih.
SATEERA diiktiraf sebagai formulasi antijangkitan semula jadi pertama dan paling banyak dipatenkan yang memelihara bakteria bermanfaat, selain memiliki 14 paten di 14 negara.
REDFORES pula diiktiraf sebagai jenama kebersihan wanita pertama dengan jumlah paten tertinggi bagi formulasi tindakan berganda - memelihara bakteria bermanfaat sambil memberikan perlindungan antimikrob, yang dipacu oleh teknologi berpaten SATEERA.
Majlis pengiktirafan itu diadakan bersempena dengan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Malaya (UM) dan SATEERA, yang mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam menterjemahkan penyelidikan oleh universiti kepada aplikasi bioteknologi yang dikomersialkan.
Pertukaran MoA itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM Profesor Dr Kaharudin Dimyati dan pengasas bersama SATEERA Datuk Calvin Khiu, yang disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Kerjasama ini dijangka membolehkan lebih banyak kajian pengesahan dijalankan serta memperkukuh aktiviti penyelidikan dalam ekosistem bioteknologi Malaysia, sekali gus memperkasa kedudukan negara sebagai pengeluar penyelesaian bioteknologi termaju.
Terdahulu, Chang dalam ucapannya berkata kerjasama itu memperlihatkan bagaimana universiti dan industri di Malaysia boleh bekerjasama untuk menterjemahkan penyelidikan kepada penyelesaian dunia sebenar.
“Inovasi tidak hanya perlu tertumpu di makmal sebaliknya diterjemahkan kepada aplikasi. Dengan memperjuangkan pendekatan berasaskan sains yang fokus kepada bioteknologi, kita dapat memperkukuh keupayaan negara sambil meningkatkan kesihatan serta kualiti hidup selaras dengan Malaysia MADANI dan Dasar Bioteknologi Negara,” katanya.
Teknologi SATEERA berteraskan teknologi antijangkitan pintar semula jadi yang direka untuk menghalang bakteria berbahaya tertentu sambil memelihara bakteria bermanfaat, dan pendekatan ini disusun berasaskan modulasi mikrob, berbeza daripada formulasi antimikrob spektrum konvensional yang bertindak secara rawak.
Inovasi itu telah berkembang melepasi tahap pengesahan makmal kepada aplikasi yang boleh dilaksanakan, dengan REDFORES mewakili penerapan komersial pertama teknologi antijangkitan selektif berpaten dalam penjagaan kesihatan intim wanita.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, REDFORES akan menjalani penilaian saintifik lanjut bersama pasukan akademik UM, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan produk berasaskan bukti.
Dalam ucapannya, Kaharudin berkata sebagai universiti yang menumpukan penyelidikan, UM kekal komited untuk memperkukuh hubungan antara penyelidikan asas dan aplikasi dunia sebenar, di samping meningkatkan keupayaan harta intelek serta ekosistem inovasi Malaysia.
“Apabila sesuatu teknologi asal dapat dikaji dan disahkan pada peringkat tempatan sebelum dikembangkan kepada kerjasama, ia bukan sekadar pencapaian korporat, malah menjadi petunjuk kepada keupayaan inovasi negara,” katanya.
Sementara itu, Khiu berkata pencapaian itu menekankan keperluan untuk menilai semula pendekatan kebersihan konvensional, kerana selama beberapa dekad, kebersihan sering dianggap ‘menghapuskan segala-galanya’.
“SATEERA dibangunkan untuk mencabar logik itu - bukan untuk lebih kuat, tetapi menjadi lebih pintar. Ia mengawal patogen berbahaya tanpa menganggu bakteria baik. Kami yakin perubahan cara berfikir ini mewakili evolusi seterusnya dalam kebersihan,” katanya.
Sementara itu, pengasas bersama REDFORES Datuk Jment Lim berkata kesihatan bahagian intim wanita perlu ditangani dengan tanggungjawab saintifik, dan bukannya dianggap sebagai kategori barangan pengguna yang pantas berubah.
“Kesihatan bahagian intim wanita berkait rapat dengan maruah, keselesaan serta kesejahteraan jangka panjang. Dalam era yang didominasi ‘penghapusan 99.99 peratus’, kami memilih pendekatan berbeza yakni mengutamakan keseimbangan mikrob serta pengesahan saintifik berbanding dakwaan agresif. Kami percaya inovasi kebersihan yang bertanggungjawab perlu memelihara ekosistem semula jadi tubuh,” katanya.
Teknologi SATEERA sebelum ini telah melalui pengesahan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan SGS Malaysia.
Majlis itu turut menampilkan sesi perbincangan panel antara disiplin bertemakan “Leading the Good Bacteria Era: Redefining Global Hygiene Standards” yang menghimpunkan profesor terkemuka dari universiti tempatan dan pakar perubatan bagi membincangkan pemeliharaan mikrobiom, sains antijangkitan terpilih serta implikasinya secara lebih meluas terhadap kesihatan bahagian intim wanita.
-- BERNAMA
