KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Penggunaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNllSe) yang akan diperluas dan mula berkuat kuasa di pintu masuk negara pada awal suku kedua tahun ini tidak diwajibkan bagi semua pengguna.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan masih mengekalkan pelbagai kaedah pelepasan imigresen seperti penggunaan pasport fizikal di kaunter, pintu pagar automatik (autogate) dan pengesanan biometrik.
“Ini bagi memastikan rakyat dan pengembara mempunyai piihan sesuai dengan keperluan masing-masing. Bagi aplikasi MyBorderPass pula pelaksanaanya sebelum ini adalah sebagai langkah sementara melalui pendekatan proof of concept (POC) bagi menangani kesesakan di pintu masuk utama negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai maklumat tersebar di media sosial yang mendakwa sistem MyNllSe akan diwajibkan pada tarikh tertentu dan ia juga menggantikan sistem MyBorderPass.
Shamsul Anuar berkata tiada sebarang tarikh rasmi yang menetapkan penggunaan aplikasi tersebut sebagai mandatori dan kerajaan akan melaksanakan peluasan penggunaan secara berfasa bagi memastikan pengurusan imigresen lebih teratur dan bersepadu.
“Pendekatan ini bagi membolehkan kerajaan melaksanakan transformasi sistem imigresen secara berperingkat dan terkawal sambil memastikan keselamatan sempadan serta kelancaran pergerakan di semua pintu masuk negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata keperluan penggunaan MyNIISe selaras dengan peningkatan pergerakan rentas sempadan, cabaran keselamatan global serta keperluan mempertingkatkan kapasiti dan pemodenan sistem imigresen, selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
