AM

MANFAATKAN MEDIA SOSIAL UNTUK PERKARA BAWA KEBAIKAN -- DR WAN AZIZAH

04/03/2026 02:39 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Era komunikasi yang semakin berubah menuntut semua pihak untuk menjaga perlakuan dan tutur kata dan menggunakan media sosial untuk perkara yang membawa kebaikan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata penggunaan telefon pintar yang kini menjadi sebahagian daripada norma hidup juga perlu diurus sebaiknya dan tidak digunakan untuk menyebarkan berita palsu.

“Zaman kini telah berubah, kita banyak berkomunikasi menggunakan telefon pintar. Jadi, kurangkan kontroversi, kurangkan bergosip. Jangan sebarkan fitnah atau berita palsu. Tumpukan kepada perkara yang membawa kebaikan dan manfaat untuk kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) bertemakan ‘Semarak Ramadan 1447H:  Inspirasi Generasi Madani’, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil.

Dr Wan Azizah yang juga Penaung Puspanita turut menzahirkan penghargaan kepada golongan wanita atas komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing sama ada di tempat kerja mahupun di rumah terutamanya dalam bulan Ramadan.

“Kebanyakan daripada kita merupakan wanita berkerjaya. Saya amat berterima kasih dan yakin atas kemampuan, keikhlasan dan komitmen penjawat awam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya mendoakan semoga Allah S.W.T memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda untuk mereka yang menyediakan juadah berbuka dan sahur di rumah, dalam masa yang sama bekerja mencari rezeki untuk keluarga masing-masing bersama pasangan tercinta,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar mengelakkan pembaziran makanan yang keterlaluan dalam bulan Ramadan dan tidak makan secara berlebihan serta mengambil peluang untuk meningkatkan amal ibadah masing-masing.

Majlis hari ini dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah, tadarus dan seterusnya sesi khatam Al Quran yang disertai kira-kira 1,000 anggota Puspanita terdiri daripada penjawat awam wanita di semua kementerian.

Selain itu majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampai penceramah terkenal Ustazah Muzayyanah Abdullah bertajuk “Al-Quran dan Wanita: Inspirasi Generasi Madani”, yang menekankan tentang peranan wanita dalam menghayati ajaran Al-Quran dan seterusnya membentuk generasi MADANI berakhlak, berilmu dan berprinsip.

Pada majlis itu Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada lima rumah kebajikan berjumlah RM5000 setiap satu serta sumbangan kepada 50 pelajar Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan