AM

IFTAR, YEE SANG BERSAMA EHH FOOD INDUSTRY SATUKAN KOMUNITI, PUPUK PERPADUAN

04/03/2026 04:06 PM

PELABUHAN KLANG, 4 Mac (Bernama) -- Majlis Iftar dan Yee Sang 2026 anjuran EHH Food Industry Sdn Bhd menjadi bukti perbezaan tradisi bukan penghalang untuk menyatukan, sekali gus menjadi jambatan perpaduan dalam komuniti berbilang kaum. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata penganjuran majlis berkenaan melambangkan sikap saling menghormati yang telah lama menjadi asas keharmonian masyarakat setempat.

“Walaupun umat Islam menyambut Ramadan dan masyarakat Tionghua meraikan Tahun Baharu Cina, matlamat kedua-duanya tetap sama, iaitu merapatkan silaturahim. Jadi, Majlis Iftar dan Yee Sang ini melambangkan perpaduan serta rasa hormat antara satu sama lain.

“Inilah nilai yang amat penting, khususnya di kawasan Pelabuhan Klang yang mempunyai masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Iftar dan Yee Sang 2026 Berbeza Tradisi Satu Hati yang diadakan di lobi pejabat kilang serta kawasan tapak baharu syarikat EHH Food Industry di Telok Gong di sini semalam.

Azmizam turut merakamkan penghargaan kepada EHH Food Industry atas komitmen berterusan menganjurkan program kebajikan untuk komuniti, antaranya sumbangan tahunan kepada anak yatim daripada Pertubuhan Baitul Sakinah As-Syariff bagi membantu persiapan Syawal.

Beliau berharap lebih banyak syarikat dan pertubuhan tampil berganding bahu membantu golongan kurang berkemampuan, terutama menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, Pengerusi dan Penasihat Pertubuhan Baitul Sakinah As-Syariff Mohd Fadzil Ali menyifatkan gabungan Majlis Iftar dan Yee Sang sebagai pendekatan terbaik meraikan kepelbagaian budaya negara ini.

Beliau berkata yee sang melambangkan kemakmuran dan kebersamaan manakala iftar adalah simbol kesyukuran dan perkongsian rezeki, apabila digabungkan ia mencerminkan semangat persefahaman antara kaum.

Mohd Fadzil turut berterima kasih atas sumbangan syarikat yang membolehkan anak-anak kurang berkemampuan merasai kegembiraan menjelang Syawal.

Eksekutif Kanan Jenama dan Pemasaran EHH Food Industry Suliza Mastar berkata penganjuran itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memupuk perpaduan serta mengeratkan hubungan antara pengurusan, pekerja dan rakan strategik dalam satu platform yang harmoni.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan