GEORGE TOWN, 4 Mac (Bernama) – Formula kiraan cukai tanah selepas semakan Cukai Tanah 2026 dilihat lebih adil dan saksama kepada semua pemilik tanah di Pulau Pinang tanpa sebarang diskriminasi antara pemilik tanah First Grade dan bukan First Grade.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penetapan kadar cukai tanah bagi tanah First Grade, Condition A, B, C dan kategori Tiada adalah berdasarkan kegunaan semasa di tapak sebelum disesuaikan dengan kategori atau kegunaan yang diwartakan menerusi Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang (Pindaan) 2025.
“Ini bermaksud bahawa sekiranya kegunaan semasa di tapak adalah kediaman, maka kiraan cukai tanah adalah berdasarkan kepada keluasan tanah didarabkan dengan kadar cukai bagi kediaman iaitu RM0.70 per meter persegi bagi tanah bandar manakala RM0.50 per meter persegi bagi tanah desa,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Komtar, hari ini.
Beliau berkata daripada 370,000 bil cukai tanah yang keluarkan, Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pulau Pinang hanya menerima 300 kes rayuan setakat ini, justeru pembayar cukai diminta mengemukakan rayuan sekiranya terdapat sebarang isu.
Sehubungan itu, Chow berkata tindakan sesetengah pihak yang mensensasikan kenaikan cukai tanah tanpa memahami asas kiraan dan kegunaan sebenar tanah amat dikesali.
Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu pemilik tanah menyesuaikan diri dengan kadar baharu termasuk pemberian rebat sehingga 50 peratus, pengecualian 100 peratus denda tunggakan cukai serta menyediakan asas rayuan yang lebih fleksibel.
Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan pengkelasan tanah desa ke bandar bagi seluruh Pulau Pinang selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas dengan melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah.
-- BERNAMA
