KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini, menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia dengan pasaran menjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadarnya pada 2.75 peratus.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.21 mata atau 0.66 peratus kepada 1,709.43 daripada 1,698.22 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 8.03 mata kepada 1,706.25 dan bergerak antara 1,701.83 dan 1,712.56 sepanjang sesi dagangan pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 522 berbanding 430 manakala 478 kaunter tidak berubah, 1,192 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion unit bernilai RM1.33 bilion. Apex Securities Bhd berkata pasaran berkemungkinan akan kekal berhati-hati dalam jangka masa terdekat memandangkan ketegangan geopolitik di Timur Tengah berpanjangan.
Di Amerika Syarikat (AS), penggubal undang-undang sedang membahaskan resolusi kuasa perang yang bertujuan untuk mengehadkan tindakan ketenteraan selanjutnya terhadap Iran menyebabkan mereka tidak sehaluan mengenai konflik tersebut dan meningkatkan ketidakpastian mengenai dasar.
Pada masa sama, ketegangan ‘transatlantik’ (kerjasama antara AS, Kanada dan Eropah) muncul apabila Sepanyol memutuskan untuk tidak mahu masuk campur dalam konflik tersebut walaupun terdapat ancaman daripada AS untuk memutuskan hubungan perdagangan, menunjukkan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat antara sekutu Barat.
“Berdasarkan faktor-faktor ini, pasaran mungkin terus diniagakan dalam kedudukan turun naik terutamanya apabila pelabur menilai risiko peningkatan selanjutnya dan implikasinya terhadap bekalan tenaga global dan inflasi.
“Bagaimanapun, sebarang petunjuk mengenai usaha meredakan ketegangan menerusi saluran diplomatik atau kekangan dasar boleh membantu menstabilkan sentimen dan menyokong pemulihan secara beransur-ansur dalam aset risiko,” katanya.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.70, Public Bank meningkat tujuh sen kepada RM4.91 dan CIMB menokok lima sen kepada RM8, TNB menambah lima sen kepada RM14.22 dan Hong Leong merosot lapan sen kepada RM22.98.
Bagi saham aktif, Zetrix naik satu sen kepada 78 sen, Tanco menambah lima sen kepada RM1.58 dan Sarawak Consolidated melonjak setengah sen kepada 12 sen. NexG meningkat tiga sen kepada 30 sen, manakala VS Industry dan Perdana Petroleum merosot setengah sen masing-masing kepada 31.5 sen dan 16 sen.
Saham paling untung menyaksikan Nestle naik RM1 kepada RM108, Malaysian Pacific Industries menambah 60 sen kepada RM31.10, Press Metal melonjak 27 sen dan RM7.67 dan Hong Leong Industries menokok 22 sen kepada RM17.60.
Antara saham paling rugi adalah Hong Leong Financial Group dan Allianz Malaysia, kedua-duanya turun 38 sen, masing-masing kepada RM20.88 and RM21.18, Fraser & Neave merosot 28 sen kepada RM33.62 dan United Plantations berkurangan 14 sen kepada RM30.06.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 69.02 mata kepada 12,335.68, Indeks FBM Emas menokok 65.56 mata kepada 12,500.03, Indeks FBM 70 meningkat 42.51 mata kepada 17,196.77, Indeks FBM Emas Shariah menambah 60.31 mata kepada 12,148.55 dan FBM ACE melonjak 4.71 mata kepada 4,510.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 86.93 mata kepada 20,855.71, Indeks Perladangan lebih tinggi sebanyak 30.60 mata kepada 8,169.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.75 mata menjadi 173.47, bagaimanapun Indeks Tenaga merosot 5.95 mata kepada 780.66.
-- BERNAMA
