AM

MALAYSIA, PAKISTAN GESA PIHAK TERLIBAT DI TIMUR TENGAH HENTIKAN SERANGAN

06/03/2026 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan menggesa semua pihak yang terlibat dalam ketegangan di Timur Tengah segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persefahaman itu dicapai melalui perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif apabila kedua-dua pemimpin berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

“Saya menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata Shehbaz memaklumkan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, serta berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara. 

“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan… Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” katanya.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Feb lepas ke atas Iran dengan Israel menyifatkannya sebagai “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi “menghapuskan ancaman”.

Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan