KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) 2025 untuk Negeri Sabah telah mencapai RM5.9 bilion iaitu 89 peratus berbanding peruntukan asal, kata Kementerian Kewangan, (MOF).
Kementerian itu berkata peruntukan DE yang telah disediakan untuk Sabah bagi 2025 adalah berjumlah RM6.7 bilion.
“Ini untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa, jalan-jalan luar bandar dan kemudahan sosial,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.
MOF berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai baki peruntukan belanjawan 2025 bagi Sabah.
Untuk projek pembangunan, perbelanjaan adalah di peringkat agensi pelaksana dan tertakluk kepada kemajuan kerja serta status perbelanjaan pembangunan Sabah.
“Sekiranya kerja tersebut tidak dapat disiapkan dalam tahun semasa, mengakibatkan terdapat lebihan peruntukan yang tidak boleh dibelanjakan,” katanya.
Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan untuk tahun berikutnya mengikut kos projek yang diluluskan dalam memastikan projek pembangunan di Sabah dapat disiapkan sepenuhnya mengikut kemajuan kerja dan kos projek yang telah ditetapkan bagi sesuatu projek pada tahun-tahun berikutnya, katanya lagi.
-- BERNAMA
