AM

HANNAH PUJI PERANAN INFOGRAFIK BERNAMA JELASKAN ISU KOMPLEKS KEPADA RAKYAT

06/03/2026 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memuji peranan infografik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memudahkan rakyat memahami isu-isu kompleks dan serius.

Berucap pada majlis Nur Ramadan bersama media hari ini, beliau berkata dalam era media sosial yang didominasi oleh video berdurasi pendek dan kecenderungan khalayak yang kurang membaca laporan panjang, peranan pasukan infografik amat kritikal.

"Saya sangat menyukai infografik Bernama kerana ia sentiasa memudahkan rakyat untuk memahami isu sebenar... sekarang semuanya pantas, video satu minit dan tiada siapa mahu membaca laporan yang berjela-jela," katanya. 

Turut hadir pada majlis itu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Hannah juga berkata keupayaan media menterjemah isu serius ke dalam bentuk visual yang ringkas membantu memastikan mesej kerajaan sampai kepada rakyat dengan lebih berkesan.

Mengulas mengenai peranan media, Hannah berkata dalam sebuah negara demokrasi yang matang, hubungan antara kerajaan tidak semestinya sentiasa berada dalam keadaan "selesa".

Beliau menyifatkan tindakan media yang mempersoalkan dasar atau mengkritik laporan kerajaan sebagai sesuatu yang sihat bagi proses semak dan imbang.

"Kerajaan yang baik tidak takut kepada soalan, dan media yang baik juga tidak berhenti bertanya... Peranan rakan media sangat penting, bukan sekadar menyampaikan berita malah membantu rakyat memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka," katanya. 

Hannah turut menyentuh mengenai pelbagai usaha yang sedang dilakukan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan namun mengakui dasar yang baik tidak akan membawa makna jika rakyat tidak memahami atau merasai kesannya secara langsung.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga kerja kementerian termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Wilayah Persekutuan agar lebih terbuka dalam berkomunikasi dengan media bagi menonjolkan gerak kerja kerajaan.

"Masalah saya sekarang, pegawai saya sangat sibuk bekerja menyelesaikan masalah sehingga mereka tidak mahu bercerita banyak dengan media... kita mesti pandai buat kerja dan dalam masa yang sama, pandai bercerita agar rakyat faham... kita perlukan keseimbangan itu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan