EKONOMI

TNB, TM JALIN KERJASAMA DALAM TENAGA HIJAU DAN INFRASTRUKTUR DIGITAL

16/03/2026 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam penyelesaian tenaga hijau dan membangunkan infrastruktur tenaga dan telekomunikasi yang lebih pintar, mampan dan saling berhubung di seluruh negara.

Memorandum persefahaman mengenai kerjasama itu, yang memberi tumpuan kepada penyelesaian tenaga mampan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk manfaat langsung pelanggan, telah dimeterai pada 9 Mac 2026.

Kerjasama ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda transformasi digital negara, menurut kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

“Sebagai pelaksanaan awal kerjasama ini, kami menilai potensi pemasangan sistem solar di sehingga 150 premis TM selain menyasarkan peluasan pemasangan kepada lebih banyak kediaman Unifi Home pelanggan setiap tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad.

Beliau berkata melalui GSPARX, pakej sistem solar akan terus ditambah baik agar memberi nilai tambah kepada pengguna.

Selain itu, katanya peningkatan rangkaian stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) turut dirangka dalam pelaksanaan kerjasama ini.

“Dengan pertambahan stesen pengecasan, pengguna EV mempunyai lebih banyak lokasi untuk mengecas, sekali gus memberikan kemudahan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

“TNB juga komited menyokong NETR bagi mempertingkat penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda peralihan negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata TM dan TNB mewakili dua tonggak utama infrastruktur kritikal Malaysia dan kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh ekosistem tenaga dan digital negara secara mampan serta bersedia untuk masa depan.

Di bawah kerjasama ini, pelanggan berpotensi mengurangkan kos operasi, menikmati kemudahan pengecasan EV di lokasi terpilih, serta memanfaatkan sistem digital pintar dan analitik berasaskan AI untuk memantau penggunaan tenaga.

Keupayaan ini akan membolehkan pengesanan gangguan lebih awal dan mempercepat pemulihan bekalan sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan. 

Hubungan antara TNB dan TM telah lama terjalin, termasuk sokongan rangkaian komunikasi ke pencawang utama, perkhidmatan SMS dan pusat panggilan awan serta kerjasama dalam program tenaga hijau. 

Sehingga 31 Dis 2025, GSPARX, yang secara rasmi ditubuhkan pada Januari 2018, telah berjaya memperoleh lebih daripada 530MW projek solar bumbung, menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial. 

Selain itu, TNB telah memasang kira-kira 256 stesen pengecasan EV di seluruh negara di bawah jenama TNB Electron, menyediakan fasiliti grid serta sokongan elektrik bagi operasi pengecasan, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga hijau dan bersepadu kepada pelanggan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan