JENAYAH & MAHKAMAH

MERCUN BOLA LETUP: TUJUH CEDERA, LELAKI DITAHAN DI PENDANG

23/03/2026 08:33 PM

ALOR SETAR, 23 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki bermain mercun bola sehingga menyebabkan tujuh individu, termasuk dirinya, cedera dalam kejadian di sebuah kampung di Tobiar, di Pendang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata suspek ditahan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 10 pagi tadi.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bermain mercun bola bersama enam saudara lain sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

“Ketika kejadian, mercun yang dinyalakan dipercayai masuk ke dalam plastik yang mengandungi mercun lain, menyebabkan letupan kuat.

“Letupan itu mencederakan enam individu berusia antara 11 hingga 20 tahun yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata kesemua mangsa termasuk suspek mengalami kecederaan pada bahagian muka dan badan serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pendang.

Beliau berkata seorang daripada mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan serius pada mata.

Katanya suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di Facebook beberapa gambar memaparkan individu yang cedera dengan kapsyen mendakwa berlaku “tragedi pakar bom” di Tobiar, Pendang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan