PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bersiap siaga sepanjang masa termasuk ketika musim perayaan bagi memastikan semua aset pembetungan awam beroperasi dengan cekap demi kesejahteraan alam sekitar dan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata IWK melaksanakan pemantauan berterusan, penyelenggaraan berkala, pemeriksaan tapak dan tindakan pembaikan segera sekiranya berlaku kerosakan bagi memastikan aset pembetungan di bawah selenggaraan IWK berada pada tahap optimum.
IWK menyelenggara kira-kira 7,767 Loji Rawatan Kumbahan awam, 1,564 Stesen Pam Kumbahan dan 23,550 kilometer panjang paip pembetungan bawah tanah, yang memberi perkhidmatan kepada penduduk di Semenanjung.
“Pasukan operasi IWK juga sentiasa bersedia dengan sebarang aduan di lapangan dan sedia dengan peralatan khas seperti sistem amaran awal.
“Malah tenaga kerja sokongan juga dipertingkatkan bagi menangani sebarang insiden termasuk sumbatan atau sekatan paip, kerosakan pam, limpahan atau isu bau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata langkah proaktif ini adalah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan pembetungan, mencegah kacau ganggu kepada keselesaan rakyat, terutamanya sepanjang tempoh perayaan selaras dengan usaha memastikan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar sentiasa diutamakan.
Bagi pengguna yang ingin membuat aduan, boleh hubungi melalui care@iwk.com.my atau talian khidmat pelanggan IWK 03-2083 2828, sama ada melalui panggilan telefon (8.00 pagi hingga 11.00 malam) atau WhatsApp (24 jam).
Sementara itu, Fadillah berkata IWK juga meneruskan program rebat khas kepada pelanggan yang tergolong dalam eKasih bagi meneruskan komitmen kepada masyarakat
Sehingga Disember 2025, IWK telah membelanjakan lebih RM1.1 juta untuk menampung rebat bil pembetungan kepada pelanggan berdaftar dengan eKasih, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, IWK juga terus memperkukuh program tanggungjawab sosial korporatnya yang memberi manfaat langsung kepada komuniti, melalui program Sahabat Sekolah IWK dan Sahabat Istimewa IWK.
“Sahabat Sekolah IWK adalah program yang menyantuni pelajar sekolah dalam usaha menyemai kesedaran mengenai kepentingan sistem pembetungan negara demi kelestarian alam sekitar.
“Tahun lepas, sebanyak 21,000 pelajar sekolah mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.
Fadillah berkata Program Sahabat Istimewa IWK pula memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pendekatan inklusif, memperkasakan keupayaan dan keyakinan diri serta membuka peluang golongan berkaitan terlibat aktif dalam masyarakat.
“PETRA sentiasa percaya perkhidmatan utiliti yang baik harus dipadankan dengan komitmen sosial berterusan kerana melalui inisiatif-inisiatif ini, usaha pembangunan masyarakat setempat dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
