AM

PROGRAM TUISYEN MADANI "TALIAN HAYAT" PENCAPAIAN CEMERLANG PELAJAR DI TERENGGANU

01/04/2026 02:24 PM

DUNGUN, 1 April (Bernama) -- Walaupun dari keluarga kurang berkemampuan, Azra Dayini Mazlan membuktikan bahawa kesungguhan dan peluang tepat mampu mengubah nasibnya yang mencapai keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan semalam.

Kejayaan itu hasil bimbingan melalui Program Tuisyen MADANI, yang menjadi “talian hayat” buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka itu, yang mengakui kurang berkemampuan hingga membataskan peluangnya untuk mengikuti kelas tuisyen berbayar seperti rakan-rakan lain.

Azra Dayini, 18, berkata dia sangat bersyukur apabila terpilih menyertai Program Tuisyen MADANI tahun lepas, yang diadakan tiga hari seminggu melibatkan subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah.

“Saya memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengikuti kelas itu yang dikendalikan di sekolah. Ibu bapa saya tidak mampu membayar kelas tuisyen di luar, jadi Program Tuisyen MADANI ini merupakan satu-satunya persediaan tambahan saya dalam menghadapai SPM,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Emas, Paka hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memperoleh keputusan semua A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan; Fizik, Kimia dan Biologi.

Program Tuisyen MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, sebagai satu daripada usaha pembasmian kemiskinan. 

Terengganu telah dipilih sebagai perintis program tersebut berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam pelajar di negeri itu.

Sementara itu, Azra Dayini berkata selain mengikuti kelas tuisyen, dia juga memberi tumpuan penuh semasa di dalam kelas, dan memperuntukkan masa menyiapkan kerja sekolah serta mengulang kaji pelajaran selepas solat maghrib.

“Saya tak sangka dengan keputusan ini kerana sebelum ini saya hanya dapat 6A, 2B dan satu subjek gagal semasa percubaan sebelum ini,” katanyanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atau Universiti Malaya (UM).

"Saya ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa walaupun lahir dalam keluarga kurang berkemampuan, saya tetap mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran dan menggapai impian untuk berjaya dalam kerjaya kelak," katanya.

Seorang lagi pelajar SMK Paka Nur Sutera Suhara Mohd Azimi, 18, mengakui Program Tuisyen MADANI banyak membantu kejayaannya memperoleh gred A dalam kesemua sembilan subjek diambil. 

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata bapanya Mohd Azimi Hashim, 53, hanya bekerja sebagai buruh dan tidak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen di luar. 

"Alhamdulillah saya dapat membanggakan kedua orang tua saya dengan pencapaian ini. Selain bimbingan melalui Program Tuisyen MADANI, saya sentiasa menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran setiap hari di rumah,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang peguam.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan