AM > BERITA

Hari Sungai Sedunia Pupuk Kesedaran Mengenai Kepentingan Sungai

20/09/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Sungai Sedunia yang diadakan di pesisir Sungai Tebrau, Johor selama dua hari bermula hari ini antara lain bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan sungai dan alur air sebagai sumber air utama dan khazanah negara. 

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Amiruddin Alaldin berkata sambutan Hari Sungai Sedunia merupakan acara tahunan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ditetapkan untuk disambut pada September oleh semua negara di seluruh dunia. 

“Kebiasaannya sebagai rakyat, kita lalu sahaja di tepi sungai kita tak ‘bertanya khabar’ (cakna) berkenaan keadaan sungai itu, jadi setahun sekali kita beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk pergi ke sungai dan tengok kesihatan sungai di tempat kita.

“Kalau sungai yang bersih itu, nikmatilah dan fikirkan cara bagaimana untuk mengekalkan (kebersihan) manakala kalau sungai yang sedikit tercemar, perlu fikirkan cara bagaimana mereka boleh menyumbang untuk menjadikan lebih lestari,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV baru-baru ini. 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Saiful Rizan Sanusi berkata objektif penganjuran sambutan Hari Sungai Sedunia adalah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga dan memelihara sungai.

Bercakap dalam program temu bual Bernama Radio bertajuk Sungai dan Alur Dalam Komuniti Kita baru-baru ini, beliau berkata perkara itu boleh dicapai dengan menanamkan sifat kepunyaan atau ownership untuk memastikan sungai dalam keadaan mampan bagi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berkata program itu juga bertujuan mendidik dan menghebahkan kepada komuniti dan masyarakat tentang keadaan sungai dari segi impak pencemaran dan usaha tindakan yang perlu dibuat bagi mengurangkan pencemaran dan memulihkan sungai itu sendiri. 

Mengenai pemilihan Sungai Tebrau sebagai lokasi bagi sambutan itu, Saiful Rizan berkata berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar pada 2023, empat daripada enam anak sungai itu di bawah kategori tercemar iaitu berada pada Kelas 3 (sederhana tercemar) dan Kelas 4 (tercemar).

Beliau berkata Lembangan Sungai Tebrau yang terletak di utara pusat bandar Johor, dari Kulai, Iskandar Puteri hingga Johor Bahru itu meliputi 225 kilometer (km) persegi yang merangkumi Sungai Tebrau sepanjang 33 km dan melibatkan enam anak sungai. 

“Lokasi sambutan yang dibuat di Sungai Tebrau ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menangani isu kemerosotan kualiti air sungai kebangsaan,” katanya sambil menambah pelbagai usaha telah dipergiatkan di peringkat komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga sungai dan mencegah pencemaran.  

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Norlida Mamad @ Samad berkata tema Sungai dan Alur Dalam Komuniti Kita yang dipilih bagi sambutan Hari Sungai Sedunia tahun ini jelas menunjukkan betapa pentingnya penglibatan komuniti dalam memastikan kemampanan dan kelestarian sungai dipelihara. 

Beliau berkata antara aktiviti menarik pada sambutan itu termasuk ‘River Rangers’ yang diadakan pada sebelah pagi, melibatkan komuniti setempat dan pelajar sekolah bagi mendidik mereka mengenai cara menilai kualiti air sungai selain pendedahan mengenai punca pencemaran sungai serta cara mengatasi masalah tersebut.

Selain itu, Norlida berkata pihaknya turut menganjurkan sukan rakyat di pesisir sungai itu antaranya galah panjang, chapteh (sepak bulu ayam), congkak dan aktiviti menangkap ayam bagi penyertaan orang ramai di samping agensi kerajaan dan kerajaan negeri turut membuka reruai pameran di sebelah petang.

“Pada 21 Sept (Sabtu) ialah majlis kemuncak iaitu perasmian untuk Hari Sungai Sedunia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Turut dijadual hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Banyak acara yang diselitkan pada hari kemuncak itu termasuk river cruise, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan Jualan Rahmah MADANI serta jualan pasar ikan yang dikendali oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Johor,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan