AM > BERITA

MAIM Komited Bantu Golongan Mualaf

21/09/2024 06:03 PM

MELAKA, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama pelbagai badan bukan kerajaaan (NGO) Muslim sentiasa komited menjaga kebajikan golongan mualaf bagi memastikan mereka mendapat bimbingan sewajarnya.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata ia termasuk menambah kefahaman serta pengetahuan mengenai hal perkahwinan sebagai persediaan mereka memasuki alam rumah tangga.

"Sejak beberapa tahun lepas, MAIM turut membantu melaksanakan majlis pernikahan secara beramai-ramai dan ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos atau perbelanjaan mereka.

"Pada tahun ini, kita menjalankan dua siri majlis pernikahan termasuk hari ini dengan keseluruhan sebanyak 12 pasangan pengantin dibantu," katanya ketika berucap pada Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Saudara Muslim Siri 2 Tahun 2024M/1446H yang turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Pada majlis itu, lima pasangan mualaf melangsungkan perkahwinan.

Rosli juga berkata majlis itu bukanlah bertujuan keagamaan semata-mata tetapi bermatlamat untuk saling belajar dan memahami.

"Di pihak MAIM menerusi Balai Islam kita bukan sahaja menganjurkan majlis pernikahan dan walimatulurus tetapi juga memberi tazkirah serta mengadakan Kursus Pasca Awal Perkahwinan dan setiap pasangan yang diraikan juga diberikan sumbangan sebanyak RM1,000 berserta hadiah peralatan elektrik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan