AM > BERITA

PMR 2024 Sarawakku Sayang Bermula 27 Hingga 29 Sept

23/09/2024 10:36 AM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang akan diadakan di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak pada 27 hingga 29 Sept 2024.

Program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian peneraju dan kerajaan Sarawak selaku tuan rumah.

Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program itu bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut kenyataan itu PMR 2024 Sarawakku Sayang, turut menjadi platform untuk menyampaikan maklumat pencapaian dan manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, susulan daripada sambutan Setahun Ekonomi MADANI yang diadakan pada PMR Zon Selatan pada bulan lepas.

Antara inisiatif itu termasuklah sumbangan asas RAHMAH, bantuan awal persekolahan, perkhidmatan pembiayaan mikro, skim jaminan kredit perumahan dan pencapaian Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030), serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Program itu kali ini juga akan membawakan lebih daripada 200 perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat berfokuskan kepada aktiviti kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, tenaga dan air, pertanian dan keterjaminan makanan dan inisiatif hijau.

Selain itu turut dibawakan pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (Al), serta pelbagai perkhidmatan yang disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, termasuk pameran aset kerajaan.

Majlis perasmian PMR 2024 Sarawakku Sayang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2.30 petang 28 Sept dan dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

PMR 2024 merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember 2023.

Program itu diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

Program berkenaan juga menyediakan ruang bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan