DUNIA > BERITA

MALAYSIA TEGASKAN SEMULA SOKONGAN TIDAK BERBELAH BAHAGI TERHADAP PERJUANGAN PALESTIN

23/09/2024 01:12 PM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia menegaskan semula sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dan komited untuk menggerakkan usaha melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai baru-baru ini bagi memberikan kejelasan undang-undang mengenai situasi di wilayah Palestin yang diduduki.

Perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa yang diadakan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 2024 pada Ahad.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar memaklumkan pertemuan itu menekankan komitmen teguh Malaysia untuk menyokong Palestin dalam perjuangannya untuk kedaulatan dan keadilan.

Kedua-dua pemimpin meneroka cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan usaha yang diselaraskan, khususnya dalam melaksanakan Resolusi Perhimpunan Agung mengenai Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Palestin yang diterima pakai pada 19 Julai.

"Resolusi ini yang diluluskan semasa Sesi Tergempar Khas Ke-10 pada 17 September bertujuan untuk mendapatkan kejelasan undang-undang mengenai situasi di wilayah Palestin yang diduduki," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Mohamad mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Masa Depan (SOTF) yang diadakan sempena UNGA ke-79 bertujuan membina konsensus baharu tentang bagaimana sistem antarabangsa boleh memenuhi keperluan generasi semasa dan akan datang dengan lebih baik.

Ini menandakan penampilan pertama Mohamad di UNGA sejak memegang jawatan pada Disember 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan