EKONOMI > BERITA

LABUAN FSA DINOBAT BIDANG KUASA PERBANKAN, KEWANGAN ISLAM TERBAIK 2024 GIFA

23/09/2024 01:11 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Sept (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dinobatkan sebagai Bidang Kuasa Antarabangsa Terbaik bagi Perbankan dan Kewangan Islam 2024 di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) ke-14, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa berkata anugerah itu mengiktiraf peranan penting Labuan FSA dalam memajukan kewangan Islam di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), khususnya menerusi promosi inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC).

“Kami amat berbangga di atas pengiktirafan Labuan FSA meraih anugerah Bidang Kuasa Antarabangsa Terbaik bagi Perbankan dan Kewangan Islam berkenaan.

“Anugerah ini hanya mengesahkan lagi usaha berterusan kami dalam memajukan kewangan Islam di peringkat global," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Anugerah itu telah disampaikan pada majlis makan malam di Maldives pada 17 September lepas dan dihadiri oleh tokoh sektor kewangan Islam, termasuk pemimpin institusi kewangan dan badan kawal selia terkemuka.

Pada majlis itu, pengiktirafan khas turut diberikan kepada bekas pengerusi Labuan FSA Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai penerima Anugerah Pencapan Seumur Hidup GIFA di atas sumbangan cemerlang beliau terhadap sistem kewangan Islam global.

Menyentuh IDAC, beliau berkata sejak dilancarkan pada Oktober 2022, inisiatif itu memperkenalkan platform inovatif seperti bursa digital Islam yang membolehkan penerbitan, penyenaraian dan perdagangan token sekuriti patuh Syariah atau RAMZ.

“Platform ini membuka peluang pengumpulan dana baharu untuk syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan empat RAMZ disenaraikan pada ini yang mewakili nilai gabungan sebanyak US$800 juta (US$1=RM4.20)," katanya.

Selain itu, Nik Mohamed Din juga menjangkakan Labuan menjadi pemain utama dalam bidang kewangan digital global dengan tumpuan kepada aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain patuh Syariah.

Aspek penting lain adalah Pelan Hala Tuju Labuan IBFC yang merangkumi hab blockchain patuh Syariah pertama dunia dan pakej insentif terbaharu bagi sand box kawal selia, sekali gus menekankan komitmen wilayah itu terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam sektor kewangan Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan