AM > BERITA

Akta 852 Beri Perlindungan Kepada Masyarakat Terutama Kanak-kanak

24/09/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk berkenaan (rokok dan rokok elektronik atau vape).

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Muaz Sayuti berkata akta itu ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru kerana dapat mengawal semua jenis produk rokok yang ada dalam pasaran berikutan ia turut melibatkan soal pendaftaran produk itu dengan KKM.

“Pendaftaran dalam konteks ini bukan seperti ubat-ubatan yang jika berdaftar dengan KKM maksudnya selamat. Pendaftaran melalui akta ini supaya dapat pengawasan dan mengetahui kandungan yang berada dalam produk itu.

“Jika mempunyai kesan kepada kesihatan, akta ini ada kuasa untuk tarik kebenaran terhadap produk terbabit,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata KKM berusaha untuk meluluskan akta itu kerana perlu ada akta khas yang mengawal produk rokok dan vape sedangkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berada di bawah Akta Makanan 1983.

“PPKHT berada di bawah Akta Makanan 1983, umum mengetahui bahawa rokok dan vape bukan produk makanan. Disebabkan itu, KKM berusaha untuk meluluskan satu akta yang boleh mengawal produk berbahaya itu.

“Dengan lulusnya akta ini, ia merupakan kejayaan besar buat kami di KKM serta masyarakat. Pelbagai perkara berkaitan akan diperincikan dalam peraturan itu terutama kepada golongan kanak-kanak,” katanya.

Dr Muaz turut memaklumkan kos untuk merawat penyakit yang berpunca daripada produk rokok dan vape amat tinggi berbanding cukai yang diperoleh data pada 2020 yang mendapati kerajaan telah kerugian lebih RM3.5 bilion akibat penyakit berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan