LIMA TERMASUK PASANGAN SUAMI ISTERI DITAHAN SAMUN, PUKUL PEKERJA BENGKEL

24/09/2024 12:53 AM

BALIK PULAU, 23 Sept (Bernama) -- Lima individu termasuk pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun dan pukul di sebuah bengkel di Teluk Kumbar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua suspek berumur antara 23 hingga 55 tahun itu ditahan di sebuah rumah di sekitar Taman Nelayan, selain merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama selepas pemilik bengkel terbabit membuat laporan di Balai Polis Teluk Kumbar.

“Berdasarkan laporan, ketika kejadian pengadu (pemilik bengkel) bersama dua pekerjanya berada di bengkel telah didatangi enam lelaki sebelum seorang daripadanya bertindak menampar dan memukul pekerja pengadu menggunakan besi sehingga mengakibatkan kecederaan pada kepala, keting kanan serta luka pada bahagian belakang.

“Suspek dikatakan berang kerana seorang daripada pekerja pengadu sering ke rumah hanya ingin memberitahu motosikal suspek telah siap dipasang,” katanya di sini malam ini.

Kamarul berkata pengadu mendakwa turut dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan sehingga mengakibatkan luka di sebelah kiri kening, kepala dan rusuk kiri, selain suspek turut mengambil gelang perak milik pengadu serta rantai emas milik pekerjanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan