DUNIA > BERITA

MALAYSIA HULUR BANTUAN KEPADA NAMIBIA YANG DILANDA KEMARAU

24/09/2024 12:48 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) --  Malaysia menunjukkan solidariti bersama Namibia dengan menghulurkan bantuan untuk membantu negara itu dalam menghadapi kemarau. 

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya menyerahkan sumbangan negara kepada Perdana Menteri Namibia, Saara Kuugongelwa Amadhila, di Bilik Kabinet Pejabat Perdana Menteri pada Isnin.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana berkata dalam satu kenyataan bahawa sumbangan itu dimudah cara melalui Tabung Bencana Kementerian Luar adalah sebagai respons terhadap rayuan Namibia untuk bantuan antarabangsa.

Kemarau teruk, yang diisytiharkan sebagai kecemasan nasional oleh Presiden Nangolo Mbumba pada 22 Mei 2024, telah mengakibatkan kesan ketara di semua 14 daerah di Namibia, menjejaskan kehidupan rakyatnya dan keterjaminan makanan negara itu.

Menyedari keseriusan situasi itu, Kerajaan Namibia telah mengadakan mesyuarat pada Jun, menyeru diplomat dari pelbagai negara untuk membantu menampung kekurangan dana yang melebihi NAD 400 juta (US$22.78 juta).

Sebagai tindak balas, Suruhanjaya Tinggi Malaysia menulis permohonan bantuan pada Jun kepada Kementerian Luar Malaysia, juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Melalui “Tabung Bencana Kementerian Luar”, Malaysia komited untuk menyumbang US$40,000 (NAD 710,400) bagi menyokong usaha bantuan kemarau di Namibia. Sumbangan penting ini telah disampaikan secara rasmi dalam satu sesi dengan Amadhila pada Isnin.

Amadhila mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sumbangan  yang mencerminkan semangat kerjasama selatan-selatan, serta menghargai usaha Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam merealisasikan dana dan sumbangan ini.

Selain itu, Presiden Mbumba juga menghantar surat penghargaan peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, di atas sokongan berharga yang diberikan Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan