AM > BERITA

Rakyat Pakistan Digalak Melabur Dalam Sektor Makanan Di Malaysia - Dr Zaliha

24/09/2024 12:40 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) --  Restoran Pakistan yang baru dibuka di Jalan Raja Laut di sini mampu menarik lebih ramai rakyat negara itu melabur di Malaysia terutama dalam industri makanan selain menjadi tarikan pelancong ke ibu negara.

Berucap pada majlis pelancaran Gawala Food Mall hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pembukaan restoran itu bertepatan dengan Malaysia yang dikenali sebagai pusat kepelbagaian budaya, makanan dan masyarakat.

“Saya gembira melihat banyak rakyat Pakistan melabur di Malaysia dalam industri makanan mahupun pakaian serta bidang lain. Saya juga mengalu-alukan lebih ramai rakyat negara itu berkunjung dan melabur di  Malaysia. 

“Sebagai negara Islam, sumber daging dan bahan-bahan halal lain tidak menjadi satu masalah. Selain itu, rakyat tempatan juga terbuka untuk mencuba pelbagai jenis makanan sekali gus menjadikan negara kita sebagai destinasi yang menarik,” katanya.  

Dr Zaliha berkata beliau juga gembira dapat menyaksikan pelbagai jenis masakan disajikan di bawah satu bumbung yang bukan sahaja memenuhi selera pengunjung tempatan malah pelancong asing.  

“Ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat tempatan dan warga asing yang tinggal di sini serta pengunjung luar negara,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Gawala Food Mall Muhammad Saeed Asad Mukhtar berkata beliau melihat peluang membuka restoran Pakistan di sini selepas kerap berkunjung ke Malaysia sejak lebih 10 tahun lepas. 

“Setiap kali saya datang ke sini, saya melihat banyak peluang perniagaan makanan kerana industri pelancongan Malaysia sangat aktif.  Kami mahu membuka sebuah restoran yang bagus untuk rakyat Pakistan kerana ramai yang tinggal di sini selain rakyat India, Bangladesh dan warga tempatan,” katanya kepada Bernama.

Selain 'pulao’ daging yang merupakan sajian istimewa restoran itu dan ‘gulap jamun’ iaitu manisan popular dari Pakistan, beliau percaya rakyat Malaysia akan menyukai makanan lain yang ditawarkan yang dijangka memenuhi citarasa mereka. 

“Secara umumnya makanan pedas boleh memikat selera masyarakat tempatan dan saya rasa rakyat Malaysia memang suka makanan pedas,” katanya menambah restoran itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 2 pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan