AM > BERITA

MCMC-Microsoft AI TEACH Jelajah Ke Pulau Pinang, Peserta Diajar Ilmu AI

24/09/2024 08:18 AM

BUKIT MERTAJAM, 24 Sept (Bernama) -- Selepas Kuala Lumpur dan Perak, Program MCMC-Microsoft AI TEACH anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelajah ke Pulau Pinang dalam usaha memperkasakan komuniti setempat menerusi program pembangunan kapasiti Kecerdasan Buatan (AI).

Selaras matlamat memperkasakan peluang kerjaya bagi warga Pulau Pinang terutama golongan rentan dengan kemahiran AI, lebih 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai program selama dua hari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Peserta diajar mengenai asas AI, pertimbangan etika serta kemahiran praktikal seperti penulisan resume serta pembangunan portfolio.

Seorang peserta OKU Azli Sharifudin, 48, yang mempunyai perniagaan membekal komputer sebelum terlibat dengan kemalangan pada 2010 berkata program itu membolehkan dia belajar perkara baharu berkaitan teknologi terutama aplikasi Copilot dan Edge yang dibangunkan Microsoft.

"Sebelum ini, saya tak pernah menggunakan Edge, Copilot juga saya tak berapa mahir...jadi ia satu perkara baharu bagi saya. Saya perlu tahu tentang teknologi ini kerana dunia semakin maju dan sebelum anak saya bertanya, saya perlu mahir dahulu supaya saya ada ilmu untuk terangkan kepada dia," katanya ketika ditemui Bernama pada program itu.

Bagi R. Thivia Tharshini, 29, program berkenaan amat bermanfaat untuk membantu urusan kerjanya sebagai Pegawai Sumber Manusia, selain berguna dalam pembelajaran memandangkan dia juga pelajar separuh masa di sebuah universiti.

"AI membantu mempercepatkan pembelajaran saya dengan memberi ringkasan dan artikel yang mudah difahami. Dari sudut pekerjaan pula, ia membantu menjimatkan masa kerja kerana sebelum ini saya memerlukan banyak masa untuk menghantar e-mel," katanya.

Pensyarah sambilan Oh Ee Teik, 61, berkata program dianjurkan MCMC bersama rakan pelaksana Biji-biji Initiative serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku rakan strategik meluaskan pengetahuannya dalam bidang AI.

"Saya mengajar subjek Teknologi Maklumat (IT) jadi penting untuk saya lengkapkan diri dengan pengetahuan tentang AI. Walaupun sebelum ini ada juga saya belajar sendiri tetapi ia tidak sama dengan kita hadir ke kelas kerana pembelajaran dalam kelas lebih berkesan," katanya yang berpengalaman selama 40 tahun sebagai pengurus kilang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari yang merasmikan program berkenaan, memuji langkah MCMC memperkenalkan inisiatif itu dalam usaha memperkasakan komuniti dengan kemahiran AI yang dilihat penting pada masa ini.

Beliau berkata langkah berkenaan turut menyokong hasrat Penang 2030 yang menekankan pentingnya pembangunan bakat dalam AI dan digitalisasi, seterusnya membolehkan rakyat di negeri itu dilengkapi kemahiran baharu serta mampu bersaing di peringkat global.

"Program ini adalah untuk semua peringkat usia, mengajar mereka menggunakan AI bukan sahaja dalam kehidupan seharian, tetapi juga dalam bidang keusahawanan. Bagaimana usahawan boleh meningkatkan ataupun mencapai tahap perniagaan lebih tinggi dengan menggunakan teknologi digital, begitu juga dengan pelajar dan mereka yang bekerja," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah MCMC Pulau Pinang Mohd Fitri Hashim, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Unit 1 Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso Pulau Pinang P. Linggeswaran, Timbalan Rektor (Penyelidikan, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, UiTM Pulau Pinang Prof Madya Ts. Dr Kay Dora Abd Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Biji-biji Initiative Rashivin Pal Singh.

Program MCMC-Microsoft AI TEACH itu turut berlangsung secara maya selama dua hari dan siarannya dipancarkan ke empat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih di Pulau Pinang iaitu NADI Jawi, NADI Sungai Pinang di Balik Pulau, NADI Tanjong Bunga, dan NADI Permatang Pasir.

Sebaik tamat latihan, peserta menerima sijil penyertaan serta sokongan penempatan pekerjaan dengan kerjasama Perkeso melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs.

Sesi di Pulau Pinang juga dijayakan dengan penglibatan 19 peserta dari Accelerated Leadership Programme Series (ALPs), iaitu program kepimpinan untuk kakitangan MCMC yang berpotensi tinggi.

MCMC telah menjalinkan kerjasama strategik 'MCMC-MICROSOFT AI TEACH' bersama-sama Microsoft Malaysia melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 20 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan