AM > BERITA

Warga Maritim Malaysia Perlu Bina Budaya Kepimpinan, Akauntabiliti - Mohd Rosli

24/09/2024 11:18 AM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baharu Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah mahu semua warga Maritim Malaysia membina budaya kepimpinan, akauntabiliti, integriti dan saling menghormati.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada 17 September lepas berkata sikap berkenaan perlu ditonjolkan di semua peringkat melalui kapasiti dan peranan masing-masing berpandukan kepada tujuh teras pemerkasaan Maritim Malaysia yang menjadi tonggak utama dalam mewujudkan reformasi agensi itu sepanjang tempoh kepimpinan beliau.

Menurut beliau, tujuh teras itu adalah kepimpinan proaktif dan inklusif, taat setia, pembangunan modal insan dan organisasi, pengukuhan tatakelola, kesiapsiagaan aset, penggunaan teknologi terkini dan pengukuhan jalinan kerjasama.

“Semua pegawai dan anggota perlu menjadi satu pasukan yang sentiasa bersedia, profesionalisme, berkemahiran dan mempunyai komitmen yang teguh bagi melaksanakan tugasan diamanahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata segala sumber, latihan serta keperluan agensi akan diusahakan bagi memastikan Maritim Malaysia terus cemerlang seiring dengan visi agensi itu untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia.

Beliau berkata pemerkasaan operasi adalah penting berikutan cabaran semakin dinamik dihadapi agensi itu dalam berhadapan isu pencerobohan, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dadah serta kontraban.

Justeru, beliau akan memberikan komitmen penuh dalam memperkukuhkan dan memodenkan aset Maritim Malaysia melalui projek perolehan yang telah dirancang seperti kapal MPMS (Multipurpose Mission Ship), kapal Ex USCG Cutter serta empat helikopter AW189.

Mohd Rosli berkata kecanggihan aset itu perlu disokong dengan kerjasama penuh daripada warga Maritim Malaysia agar agensi itu menjadi agensi yang dekat, diyakini dan dipercayai oleh masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan