EKONOMI > BERITA

PELABUR TUNGGU BELANJAWAN 2025 BAGI KERANGKA KAWAL SELIA "FAMILY OFFICE" DI MALAYSIA - OCBC

24/09/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kalangan pelabur sedang menunggu pengumuman mengenai kerangka kawal selia untuk menubuhkan “family office” di Malaysia, yang akan dibuat menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini, menurut OCBC.

OCBC menjelaskan pelabur domestik, serantau dan antarabangsa juga menjangkakan insentif yang berpotensi untuk meningkatkan pelaburan di Johor, menjelang pengumuman akhir tahun mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kerajaan mengumumkan insentif tambahan untuk menarik pelaburan ke dalam Zon Kewangan Khas (SFZ), dan skim itu dijangka bermula pada suku pertama 2025,” jelas OCBC menerusi nota Penyelidikan Pasaran Global pada Selasa.

Menerusi pengumuman baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk “family office” atau pejabat kekayaan keluarga selama sepuluh tahun, dengan kemungkinan dilanjutkan jika syarat tertentu dipenuhi.

Insentif lain termasuk kadar cukai korporat konsesi sifar hingga lima peratus, kadar cukai individu yang lebih rendah untuk pekerja asing mahir, potongan khas ke atas kos penempatan semula, dan pengecualian cukai pegangan.

OCBC menjelaskan semua insentif itu sangat kompetitif dan akan membantu menonjolkan SFZ dengan kadar cukai yang lebih rendah.

“Kadar korporat yang baru diumumkan ini akan menjadi yang terendah dalam kalangan serantau.

“Selain itu, dorongan untuk menarik pejabat keluarga mencerminkan peningkatan pelaburan di negara jiran ASEAN, khususnya Singapura,” tambah OCBC.

Menurut OCBC walaupun insentif cukai itu boleh menarik pelabur domestik, serantau dan antarabangsa namun, mereka perlu disokong oleh kerangka kawal selia yang kukuh dan insentif perniagaan untuk menggalakkan syarikat perkhidmatan kewangan dan teknologi kewangan mewujudkan operasi dalam SFZ.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan