AM > BERITA

4.5 Juta Pelancong Muslim Lawat Malaysia, Jana RM14.7 Bilion Tahun Lepas

24/09/2024 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia merekodkan kemasukan 4.5 juta pelancong Muslim dengan menjana pendapatan RM14.7 bilion tahun lepas, menurut Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Nizran Noordin.

Beliau ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk Malaysia Destinasi Mesra Muslim Terbaik, berkata ini membuktikan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim mempunyai potensi ekonomi yang besar di negara ini.

Nizran berkata berdasarkan data, populasi penduduk dunia merekodkan dua bilion umat Islam dengan 1.1 bilion merupakan penduduk negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu gabungan 57 negara Islam seluruh dunia.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 255 juta merupakan umat Islam di negara ASEAN manakala 350 juta populasi Muslim di negara minoriti Muslim.

“Pasarannya amat besar, Mastercard-CrescentRating (Indeks Perjalanan Muslim Global (GMTI)) memberi unjuran pada 2028, pasaran kembara akan diterajui sebanyak 230 juta orang yang beragama Islam, menjana perbelanjaan sebanyak US$225 bilion (RM987 bilion),” katanya.

Sebagai usaha menggalakkan sektor itu, Nizran berkata ITC menyediakan Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) bagi tempat penginapan dan menyediakan kira-kira 220 Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG).

Sementara itu, beliau berkata ITC turut menganjurkan Bulan Pelancongan Islam (ITM) bermula 16 Ogos sehingga 30 Sept, dengan tawaran antaranya melibatkan kategori penginapan dan pakej pelancongan, pelancongan masjid, kecantikan dan spa, tarikan pelancongan serta acara dan pameran. 

Nizran berkata pihak yang berminat bagi menyertai ITM, boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang www.itm.itc.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan