AM > BERITA

Wira Tak Didendang: Tekad Dua Sekawan Berkhidmat Sebagai Sukarelawan

24/09/2024 04:47 PM

SIBU, 24 Sept (Bernama) -- Persahabatan Mohamad Ali Wan Ahmad, 48, dan Abdul Rahman Rosli, 34, yang terjalin di laman media sosial Facebook pada 2013 menjadi lebih bermakna apabila kedua-duanya berkongsi perwatakan sama iaitu gemar membantu orang ditimpa kesusahan sejak kecil.

Jarak usia 14 tahun tidak menghalang kedua-dua insan yang ringan tangan itu untuk meneroka aktiviti kesukarelawanan di hujung minggu, meskipun masing-masing sudah pun mempunyai pekerjaan tetap.

“Minat kami untuk membantu orang ini muncul secara semula jadi dan bila menonton program kebajikan disiarkan di televisyen, ia menguatkan lagi perasaan mahu membantu orang menerusi saluran yang betul.

“Setelah bertanyakan orang tempatan dan aktif mencari platform untuk membantu penduduk tempatan yang susah, maka tercetuslah idea untuk menyertai program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) pada 2022,” kata Abdul Rahman ketika ditemui Bernama di Program Kembara KASIH KPWKM 2024 baru-baru ini. 

Inisiatif sukarelawan KBDR di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan perkhidmatan sokongan sosial kepada golongan sasar iaitu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan dengan sukarelawan mengadakan lawatan ke rumah klien pada hari tertentu.

Abdul Rahman yang bekerja di Tempat Transit Gelandangan Sibu berkata program berkenaan membuka matanya untuk mempelajari cara mengendalikan klien yang mempunyai latar belakang serta perwatakan berbeza. 

“Setiap sukarelawan KBDR memegang maksimum empat klien, macam saya sendiri, klien saya kebanyakannya OKU intelektual… jadi sebelum saya mendekati klien, saya akan buat kajian dan tanya waris apakah perwatakan mereka kerana ada OKU yang dapat bercakap, ada yang tidak.

“Untuk OKU, lebih kepada menolong menyuapkan makanan dan membeli keperluan makanan mereka menggunakan bantuan JKM bagi program ini iaitu RM80 sebulan,” katanya lagi sambil menambah beliau dan rakannya sering kali membuat lawatan ke rumah klien pada hujung minggu. 

Bagi Mohamad Ali, bertugas sebagai sukarelawan KBDR bagi klien warga emas bukanlah sesuatu yang sukar untuknya memandangkan beliau sememangnya selesa bergaul dengan golongan berkenaan serta berpengalaman menjaga ibu dan neneknya yang terlantar sakit suatu ketika dahulu. 

Berbeza dengan keperluan komuniti OKU, penjaga stor di Penjara Sibu itu berkata perkhidmatan yang disediakan kepada warga emas antaranya menukar lampin, selain membawa mereka ke hospital atau klinik.

“Pada awalnya ada juga rasa takut sekiranya klien tidak menerima saya, namun mereka gembira dan saya dah anggap mereka sebagai ibu saya sendiri dan memanggil mereka dengan panggilan ‘mak’.

“Kami seronok dapat memberi sinar harapan kepada klien dan setakat ini saya dah mempelawa empat rakan untuk menyertai program ini,” katanya.

Perkhidmatan yang ditawarkan sukarelawan program KBDR terbahagi kepada empat kategori meliputi khidmat sosial, kesihatan, kerohanian atau pendidikan serta kebersihan atau keselamatan. 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM Rosmahwati Ishak berkata inisiatif KBDR menjadi antara usaha bagi Malaysia mendepani status ‘negara tua’ menjelang 2030 apabila peratusan warga emas berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara. 

Beliau berkata permintaan untuk perkhidmatan sokongan sosial berkenaan kian meningkat dan setakat Ogos tahun ini, seramai 2,295 sukarelawan terlibat dalam program KBDR membabitkan sejumlah 8,696 klien. 

“Sukarelawan yang dilantik ini terdiri daripada warga tempatan kerana mereka lebih mengenali ahli komuniti mereka sendiri, jadi memudahkan proses membina perhubungan kerana tiada jurang komunikasi.

“Setakat ini Kelantan mempunyai jumlah sukarelawan KBDR tertinggi iaitu 285 orang, diikuti Sarawak (279) dan Selangor (272), namun dari segi geografi Sarawak yang luas, terdapat keperluan untuk menambah bilangan di negeri ini dengan mengemukakan permohonan belanjawan,” katanya sambil menjelaskan pemohon perlu menjalani kursus sebelum dibenarkan mengendalikan klien. 

Selain KBDR, Rosmahwati berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi JKM memberi peluang warga emas tempatan menjalani aktiviti sihat bersama di 161 pusat warga emas (PAWE) yang disediakan di seluruh negara. 

“Ini sebagai galakan untuk mereka meneruskan gaya hidup produktif dan aktif, jadi bagi yang tidak mampu datang ke PAWE, kita bawa program khidmat sosial berkenaan kepada mereka menerusi KBDR,” katanya yang seterusnya menyatakan sejumlah 51,989 warga emas telah berdaftar di bawah PAWE.

Kembara KASIH yang berlangsung di lapan daerah Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan Lawas memberi peluang kepada kementerian dan agensi di bawah KPWKM mendekati serta menghulurkan bantuan kepada penerima berdaftar. 

Seramai 12,000 rakyat Sarawak mendapat manfaat menerusi pelbagai program digerakkan sepanjang kembara itu yang diadakan 14 hingga 21 Sept, melibatkan perjalanan sejauh 1,456 kilometer.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan