EKONOMI > BERITA

SIEMENS MOBILITY, DMIA METERAI MOU TINGKAT PENDIGITALAN INDUSTRI REL NEGARA

24/09/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Siemens Mobility Sdn Bhd dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mendigitalkan sistem kereta api di Malaysia dan meningkatkan perkhidmatan rel negara.

Siemens Mobility dan DMIA menerusi satu kenyataan bersama berkata kerjasama tersebut merupakan inisiatif transformasi yang bertujuan mempertingkatkan industri rel Malaysia melalui penerapan teknologi digitalisasi terkini.

Majlis menandatangani MoU itu yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diadakan sempena acara InnoTrans 2024, pameran perdagangan antarabangsa terkemuka teknologi pengangkutan dan kereta api di Berlin.  

MoU itu merupakan satu langkah penting ke arah mewujudkan rangkaian rel yang lebih efisien dan moden di Malaysia, selaras dengan visi negara untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam demi manfaat generasi masa depan.

“Inisiatif ini dijangka mampu merevolusikan sistem kereta api Malaysia dengan meningkatkan kapasiti, mengurangkan kelewatan, meningkatkan keselamatan, serta mengurangkan kos operasi.

“Ini akan membawa kepada perkhidmatan kereta api yang lebih cekap dan boleh dipercayai untuk rakyat Malaysia,” demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan