EKONOMI > BERITA

BATIK AIR LANCAR LALUAN BAHARU PULAU PINANG–JAKARTA OKTOBER INI

24/09/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR,24 Sept (Bernama) -- Batik Air akan melancarkan laluan baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia bermula 1 Okt ini.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan baharu berkenaan akan menyediakan kemudahan lebih baik kepada pengembara perniagaan dan percutian dengan penerbangan harian dari Pulau Pinang ke Jakarta serta penerbangan pulang pada hari yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy menyatakan keterujaan dengan laluan baharu ini, dan akan memainkan peranan dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Indonesia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pilihan perjalanan yang lebih mudah.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pelancongan perubatan di Pulau Pinang yang menjadi destinasi utama untuk kemudahan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

"Laluan baharu ini memudahkan pengunjung dari Indonesia mendapatkan rawatan perubatan, menawarkan perjalanan yang lancar dan mudah untuk menikmati penjagaan kesihatan yang baik. Menerusi penerbangan terus ke Pulau Pinang, pesakit akan dapat sampai ke destinasi lebih mudah tanpa melalui pelbagai sambungan penerbangan.

"Kami melihat potensi besar dalam laluan ini. Pada 2023 sahaja, Pulau Pinang menerima lebih 160,000 pelancong Indonesia. Jumlah pelawat yang ramai ini membuktikan Indonesia sebagai pasaran utama, dengan golongan profesional muda dan keluarga tertarik dengan gabungan unik warisan budaya, perayaan dan makanan di negeri berkenaan," menurut kenyataan itu.

Menurut pejabat Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, ketibaan pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang melibatkan lebih 40 negara tahun lepas, dengan yang tertinggi dari Indonesia iaitu 163,187 orang, diikuti Singapura (74,800 orang), Taiwan (15,602 orang) dan China (13,029 orang).

Laluan baharu Pulau Pinang–Jakarta akan menggunakan pesawat Boeing 737 milik Batik Air yang menawarkan konfigurasi dua kelas. Jadual disusun dengan teliti bagi memenuhi keperluan pelancong perubatan serta pelawat perniagaan dan percutian, memastikan pengalaman perjalanan yang selesa dan cekap.

Maklumat lanjut atau tempahan tiket, sila layari laman web rasmi Batik Air www.batikair.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan