AM > BERITA

Malaysia Sertai CAEXPO 2024 Sebagai Negara Tetamu Kehormat

24/09/2024 06:18 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia menyertai Ekspo China-ASEAN 2024 (CAEXPO) di Nanning, Guangxi, China, bermula hari ini hingga Sabtu, dan diberi penghormatan selaku ‘negara tetamu kehormat'.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke tiba di Nanning bagi mewakili kerajaan Malaysia di ekspo berkenaan.

“Pada edisi ke-21, CAEXPO telah menganugerahkan Malaysia sebagai ‘negara tetamu kehormat’ yang memperlihatkan peranan penting negara dalam memupuk perdagangan dan pelaburan serantau,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan beliau secara maya pada majlis perasmian yang dilakukan bersama Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang dan Ahli Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China.

Ekspo berkenaan menampilkan Pavilion Malaysia yang menyaksikan penyertaan 150 organisasi termasuk 10 kementerian dan agensi kerajaan serta tiga persatuan perdagangan

Menurut MOT, Pavilion berkenaan mengetengahkan sektor strategik Malaysia seperti pembuatan, pertanian dan teknologi.

Pavilion Malaysia telah menarik perhatian, dengan Ding melawat pavilion berkenaan selepas majlis perasmian.

“Lawatan beliau mencerminkan betapa pentingnya hubungan Malaysia-China dan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama ekonomi di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

 Sementara itu, Loke dalam kenyataan sama berkata kehadiran Malaysia di CAEXPO menunjukkan komitmen negara untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China serta ASEAN. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan