AM > BERITA

JESAWIL 2024 Kumpul 68.2 Metrik Tan Barangan Kitar Semula

24/09/2024 06:36 PM

MUAR, 24 Sept (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang kelestarian alam sekitar dan amalan kitar semula sebagai sebahagian gaya hidup dengan mengadakan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL).

Pengarah JESAWIL 2024 Dr Roslinda Ali berkata melalui program berkenaan yang diadakan bermula Mei hingga Ogos lepas, pihaknya berjaya mengumpul 68.2 metrik tan barangan kitar semula.

Beliau berkata satu Karnival Wira Lestari juga telah diadakan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh sebagai kesinambungan program yang kali pertama diadakan tahun lepas, dengan melibatkan masyarakat setempat.

“JESAWIL 2024 melibatkan 42 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah di Johor, dengan tujuh kategori dipertandingkan bagi merebut gelaran Ikon Wira Lestari 2024.

“Satu kategori terbuka diperkenalkan bagi melihat sejauh mana kreativiti pelajar dalam menarik minat orang ramai untuk menjadikan amalan pengasingan sisa di punca dan amalan reuse (guna semula), reduce (mengurangkan pembaziran) dan recycle (kitar semula) sebagai sebahagian gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata pengumpulan 68.2 metrik tan barangan kitar semula melebihi 60 metrik tan seperti disasarkan itu sekali gus memberikan impak positif kepada alam sekitar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan