AM > BERITA

MAIWP Perlu Tekankan Pengurusan Integriti Bagi Capai Agenda Nasional - Na'im

24/09/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) harus memberi penekanan kepada aspek pengurusan berintegriti, dalam usaha memperkukuh sistem nilai dan peradaban masyarakat, seterusnya mencapai agenda Membangun Malaysia MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata beliau mahu ‘stigma lama’ berkaitan aspek pengurusan tidak cekap, dinoktahkan dan tidak mahu agensi berkaitan hal ehwal Islam itu terus dilihat ketinggalan daripada arus perdana.

Beliau berkata dalam masa sama, MAIWP juga perlu terus menumpukan kepada program pemerkasaan dan pengupayaan ekonomi ummah meliputi kluster kebajikan, perlindungan, ekonomi, perubatan, pendidikan dan pembangunan ummah termasuk asnaf.

“Sebagai penjawat awam kita haruslah peka, mengambil cakna mengenai prosedur kewangan dan garis panduan yang telah ditetapkan, dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Aspek integriti ini harus ditekankan dan menjadi asas dalam apa juga tindakan yang hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kefahaman Malaysia MADANI Siri 3 Tahun 2024 MAIWP, yang dihadiri kira-kira 300 peserta melibatkan kakitangan MAIWP serta anak syarikat agensi itu di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin dan Pengerusi Duat Al-Falah Ustaz Ahmad Faiz Mohd Khalil, yang masing-masing merupakan antara barisan penceramah pada seminar satu hari itu.

Mohd Na'im berkata bagi menyokong agenda Membangun Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, kementeriannya telah menggerakkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027 atau dikenali sebagai Pelan Transformasi Al-Falah (PTF), sebagai penambah baik kepada sistem pentadbiran Islam yang benar-benar efektif serta memenuhi keperluan masyarakat.

Beliau berkata MAIWP juga perlu komited melaksanakan segala keputusan yang dicapai pada peringkat Jemaah Menteri, berhubung kepentingan rakyat dan para asnaf.

“Kita tidak mahu ada pegawai MAIWP ini hanya membuat keputusan dari atas sahaja, tanpa turun padang melihat keperluan sebenar asnaf di lapangan. Biarlah apa-apa keputusan dan tindakan yang diambil benar-benar mengambil kira situasi dan keperluan sebenar para asnaf,” katanya.

Mengenai seminar tersebut, Mohd Na'im turut menyeru warga MAIWP agar memahami dan mengamalkan konsep MADANI dan menjadikannya amalan, supaya segala nilai baik dapat dibentuk dan dipertahankan.

Beliau turut berharap penganjuran seminar itu dapat diteruskan, bagi mendidik dan memberi penghayatan kepada warga MAIWP mengenai makna sebenar Malaysia MADANI, agar dihayati sepenuhnya dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam di agensi hal ehwal Islam itu.

Mohd Na’im berkata penjawat awam perlu menjadi model peranan utama kepada masyarakat, kerana mereka merupakan pelaksana utama dasar kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan