AM > BERITA

Keputusan Doktrin GISBH Diketahui Selepas Dapat Perkenan Majlis Raja-raja - Mohd Na’im

23/09/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebelum keputusan itu diperkenankan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadot serta semua mufti negeri akan bermesyuarat bagi  membincangkan mengenai GISBH bermula esok hingga 26 Sept ini.

“Satu kertas khas yang disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) berkaitan dengan GISBH akan dibentangkan pada jawatankuasa ini esok hingga 26 Sept di Terengganu. Jawatankuasa ini akan memutuskan tentang GISBH,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja. 

“Dalam bulan Oktober ini kita boleh dapat keputusan perkenan …. Kita sudah ambil tindakan cepat untuk bawa kertas itu dalam perbincangan esok,” katanya. 

Mengulas mengenai MTHQA ke-64 yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI", Mohd Na’im berkata 92 peserta dari 71 negara akan menyertai pertandingan itu yang akan diadakan selama lapan hari bermula 5 Okt di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata 53 peserta terdiri daripada 39 lelaki dan 14 wanita dari 41 negara menyertai tilawah manakala peserta hafazan sebanyak 39 orang, melibatkan 26 lelaki dan 13 wanita dari 30 negara. 

“Malaysia menghantar empat peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu, sementara hafazan pula diwakili Muhammad Rifae'i Mat Zuki (Kedah) dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan),” katanya. 

Beliau berkata Perasmian dan Pembukaan MTHQA ke-64 itu nanti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 5 Okt (Sabtu) pukul 8.55 malam.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada 12 Okt pukul 8.55 malam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan