AM > BERITA

Warga Kerja Sejahtera Dapat Bantu Tingkat Kualiti Kerja Dan Kehidupan - KSN

24/09/2024 08:49 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Organisasi yang seimbang dan mempunyai warga kerja yang sejahtera diakui terbukti dapat membantu meningkatkan kualiti kerja dan kehidupan secara amnya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata organisasi yang cemerlang juga dapat membantu kerajaan mempercepat proses pembangunan negara.

"Kesedaran dan pengetahuan berkaitan psikologi dan kesejahteraan minda perlu sentiasa menjadi keutamaan untuk mencapai objektif organisasi dan membina modal insan yang bernilai tinggi seiring dengan misi dan visi Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara khususnya," katanya dalam ucapan pada perasmian Seminar Psikologi, JPM 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Shamsul Azri dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Abd Shukor Mahmood.

Shamsul Azri berkata isu kesihatan psikologi atau masalah kesihatan mental seperti tekanan emosi adalah antara isu kesihatan awam yang perlu diberi perhatian kerana ia mampu memberi kesan bukan sahaja kepada kesejahteraan individu, tetapi juga keberhasilan sesebuah organisasi. 

Beliau berkata persepsi negatif terhadap kesihatan mental perlu dihentikan dan individu yang mempunyai masalah itu digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal yang lain.

Shamsul Azri berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh Kementerian Kesihatan menunjukan satu juta atau mewakili 4.6 peratus penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

Beliau berkata Kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia 2023 yang melibatkan 159,633 pegawai awam, menunjukkan Indeks Kesejahteraan Psikologi berada pada tahap sederhana iaitu 7.5.

"Ini bermakna usaha secara berterusan dan menyeluruh perlu dilaksanakan dalam memastikan tahap kesejahteraan psikologi ini terus dipertingkatkan.

"Semua pihak, sama ada ketua jabatan, pengurus sumber manusia, pegawai penyelia mahupun setiap individu berperanan untuk terus membaiki diri dengan mengurus aspek pemikiran, emosi dan tingkah laku ke arah yang lebih positif," katanya.

Shamsul Azri turut menyeru pegawai awam khususnya di JPM agar sentiasa peka dan cakna kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku agresif.

Beliau berkata aspek kesihatan psikologi menjadi tanggungjawab setiap pegawai awam sepertimana penjagaan aspek kesihatan fizikal. Kesihatan psikologi juga menurut beliau, perlu dipantau dan diuruskan dengan sebaiknya, dan setiap pegawai awam perlu meningkatkan kesedaran dan melakukan penilaian kendiri berkaitan perkara itu.

Shamsul Azri berkata pegawai awam perlu memanfaatkan Sistem Profiling Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang antara lain bertujuan membantu pegawai awam memahami situasi diri dalam konteks risiko kesihatan psikologi.

"Jika dapatannya menunjukkan perlu bantuan maka dapatkan bantuan daripada pihak yang berkepakaran atau pegawai psikologi yang ada di JPM atau agensi masing-masing," katanya.

Sebanyak 400 peserta terdiri daripada warga JPM dan agensi serta jabatan di bawah JPM menyertai seminar yang diadakan selama dua hari hingga esok.

Seminar itu diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Hari Kesihatan Mental sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ia bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya pengurusan kesihatan mental yang menyeluruh dalam organisasi melalui saluran yang tepat, mendidik penjawat awam tentang isu kesihatan mental dan impaknya terhadap kualiti kerja dan kehidupan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan