AM > BERITA

Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera Sebagai Inisiatif ANMS Diluluskan 

24/09/2024 05:25 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bilangan 2/2024 hari ini meluluskan Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) sebagai satu daripada inisiatif di bawah ANMS.

Pelan itu bertujuan menjayakan hasrat kerajaan untuk melahirkan penjawat awam yang mempunyai status kesihatan baik supaya mereka dapat berfungsi secara produktif bagi membangunkan negara Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS berkata pelan strategik PSS menggariskan pelbagai strategi, inisiatif dan sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030.

“Ia bermatlamat menurunkan prevalen faktor risiko kesihatan dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya melalui pelaksanaan dasar berkaitan pembudayaan hidup sihat dan persekitaran yang menyokong kesihatan di samping meningkatkan literasi kesihatan serta amalan budaya hidup sihat di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

PSS akan dilaksanakan bermula fasa rintis 2024 hingga 2025 dengan tinjauan untuk mendapatkan data asas akan diadakan tahun ini, seterusnya tinjauan keberkesanan fasa rintis dilakukan pada penghujung 2025.

Ahmad Zahid berkata antara strategi yang digunakan dalam melaksanakan PSS ialah mengukuhkan literasi kesihatan penjawat awam dan persekitaran yang menyokong kesihatan, pemantapan intervensi kesihatan pembudayaan hidup sihat dan mengukuhkan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Beliau berkata 16 inisiatif akan dilaksanakan sebagai indikator pengukuran kejayaan PSS manakala kejayaan pelaksanaan inisiatif PSS akan diukur melalui kajian dan tinjauan yang akan dilaksanakan kelak.

“Ia merangkumi Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia 2028, Indeks Cara Hidup Sihat Malaysia 2028, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2028 dan Kajian Pasca Keberkesanan PSS 2030.

“Berkonsepkan pendekatan whole of nation, kejayaan PSS bergantung pada pemerkasaan penjawat awam dan komitmen rakan strategik dalam ANMS, dan isu kesejahteraan kesihatan perlu dilihat merentas sektor kementerian atau agensi serta tema kesihatan perlu berada dalam semua dasar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan