AM > BERITA

Pelan Induk Pengangkutan Sarawak Mampu Penuhi Keperluan Negeri

24/09/2024 10:01 PM

KUCHING, Sept 24 (Bernama) -- Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak 2025-2040 akan menjadi inisiatif untuk mewujudkan rangka kerja komprehensif bagi pembangunan sistem pengangkutan bersepadu, moden dan mampan yang memenuhi keperluan negeri yang semakin meningkat. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata walaupun terdapat pelbagai pelan induk pembangunan bandar dan wilayah dirangka pada masa lepas, namun tidak ada satu pun yang bersepadu atau menangani masalah dalam sektor pengangkutan.

“Pelan Induk ini bertujuan merapatkan jurang itu dan merangka hala tuju yang bersatu dan strategik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan pelancaran Makmal Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata sektor pengangkutan ialah tulang belakang ekonomi dan keterangkuman sosial Sarawak, serta sistem pengangkutan yang cekap akan memudahkan pergerakan manusia dan barangan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan merentasi pelbagai industri termasuk pembuatan, pertanian dan pelancongan.

“Bagi pengangkutan darat, kami sedang memodenkan sistem pengangkutan awam dengan projek seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). Inisiatif ini akan mentakrifkan semula landskap pengangkutan dan bertindak sebagai pendorong dalam pembangunan rangkaian pengangkutan awam yang bersepadu dan lancar,” katanya.

Lee berkata proses pemodenan sistem tidak hanya melibatkan bas dan van, tetapi juga merangkumi pembangunan ruang mesra pejalan kaki, pengangkutan tidak bermotor dan pembangunan berorientasikan transit.

Bagi sektor pengangkutan maritim dan sungai, beliau berkata rangkaian sungai yang luas di Sarawak memberikan peluang untuk pertumbuhan perdagangan, pelancongan dan perindustrian, dengan kementeriannya komited memanfaatkan alam sekitar secara mampan.

Selain itu, Lee berkata penerbangan ialah satu lagi bidang utama kerana ketersambungan sangat penting di Sarawak yang secara geografi luas dan bertaburan, di samping cabaran kenaikan harga tiket dan penerbangan masuk dan keluar negeri yang tidak mencukupi.

“Bagi menangani perkara ini, Sarawak bergerak ke hadapan dengan inisiatif untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bertujuan meningkatkan ketersambungan udara bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di serantau dan lebih jauh lagi,” kata beliau. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan