AM > BERITA

SPR Seru Pengundi DUN Mahkota Keluar Mengundi

24/09/2024 11:38 AM

KLUANG, 24 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Sabtu ini (28 Sept).

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya mengharapkan kehadiran seramai mungkin pengundi bagi mencapai peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRK itu. 

"Pada PRK DUN Nenggiri (di Kelantan bulan lepas), peratusan keluar mengundi adalah lebih daripada 70 peratus dan kita berharap peratusan juga tinggi bagi PRK di sini...sasaran kita adalah setinggi yang boleh," katanya. 

Ramlan berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perjalanan proses undi awal bagi PRK DUN Mahkota di Dewan Mahkota yang terletak di Kem Mahkota di sini yang turut dihadiri Pengarah SPR Johor Nor Nekman Jaimon. 

Berhubung proses undi awal hari ini, Ramlan berkata pihaknya berharap dapat mencapai peratusan keluar mengundi sebanyak 90 peratus dengan setakat 10 pagi tadi, peratusan dicatatkan ialah 35.47. 

"Jumlah pengundi yang telah selesai menunaikan tanggungjawab mereka setakat 10 pagi ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan proses pengundian awal pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas iaitu 18.6 peratus sahaja yang keluar mengundi setakat 10 pagi (semasa itu).

"Insya-Allah dengan cuaca baik hari ini, kita berharap dapat mencapai sasaran 90 peratus," katanya. 

Selain Dewan Mahkota, Ramlan turut meninjau dua lagi pusat mengundi awal iaitu Dewan Pengaman Zamrud di Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim. 

Proses pengundian awal melibatkan 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 401 anggota polis yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar di DUN Mahkota. 

Turut kelihatan meninjau proses undi awal hari ini ialah dua calon pada PRK itu, iaitu dari Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan