AM > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Lebih Tinggi, Selesai Isu Pakar Tersekat Di Gred UD56 - MMA

24/09/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Peningkatan peruntukan keseluruhan untuk kesihatan menerusi Belanjawan 2025 diperlukan bagi membolehkan penambahbaikan dan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata matlamat Kertas Putih Kesihatan untuk meningkatkan peruntukan bagi penjagaan kesihatan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara perlu dicapai lebih awal, memandangkan lebih 70 peratus rakyat Malaysia bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam untuk keperluan kesihatan mereka.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan bagi belanjawan itu termasuk pengwujudan jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) Gred Khas C buat pakar yang tersekat di gred UD56.

“Kali terakhir jawatan seumpama itu adalah pada 2012, dengan beberapa ratus jawatan KUP Khas telah diwujudkan secara khusus yang membolehkan ramai doktor dinaikkan pangkat ke Gred Khas C.

“Selepas 13 tahun, pengwujudan jawatan KUP Gred Khas C sangat diperlukan untuk mengekalkan doktor senior berpengalaman yang diperlukan untuk merawat, mengajar dan membimbing dalam sektor awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Kalwinder berkata pengwujudan 150 hingga 200 jawatan KUP Gred Khas C juga mampu mengurangkan peletakan jawatan dan menyelesaikan isu berlarutan sejak 2017 bagi doktor di gred UD56.

Beliau berkata selain itu, MMA turut berharap agar kerajaan meluluskan cadangan persatuan berkenaan untuk menaikkan kadar elaun tugas atas panggilan (ETAP) atau ‘on-call’ bagi pegawai perubatan kepada RM25 sejam menerusi Belanjawan 2025, berbanding kadar semasa RM9.16 sejam untuk tugas atas panggilan pada hujung minggu.

“Kami turut berharap kerajaan meningkatkan kadar ETAP bagi pakar kepada RM30 sejam (daripada RM10.40 sejam pada hujung minggu). Bagi panggilan pasif untuk kedua-dua pegawai perubatan dan pakar, MMA mencadangkan peningkatan sebanyak 50 peratus daripada kadar semasa,” katanya.

Bagi meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran di kemudahan kesihatan awam dan menangani isu kesesakan, Dr Kalwinder berkata MMA turut mencadangkan supaya peruntukan bagi pendigitalan dalam kesihatan awam dipertingkat seperti papan pemuka dalam talian yang menyenaraikan perkhidmatan dan bilangan janji temu.

Bagi sektor kesihatan swasta, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara awam dan swasta terutama dalam pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) memandangkan pada  2023 lebih daripada setengah juta atau 2.5 peratus golongan dewasa Malaysia menghidap empat NCD, manakala hampir 2.3 juta orang dewasa dijangka mengalami tiga NCD.

“Sebanyak 13,000 pengamal perubatan swasta umum (GP) yang memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pendidikan kesihatan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani NCD. Kerjasama awam-swasta dengan pengagihan GP yang meluas dapat meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan NCD,” katanya.

Selaras kemajuan dalam bidang kesihatan dan teknologi, Dr Kalwinder berkata rebat cukai perlu diberikan kepada doktor bagi membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan, termasuk menghadiri kursus atau persidangan anjuran badan profesional.

Bagi mendorong lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat, MMA juga berharap cukai minuman bergula (SSB) diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif "Perang Terhadap Gula" oleh Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025.

"Kami menantikan butiran lanjut berkaitan inisiatif itu, kami ingin melihat hasil cukai daripada penjualan produk tembakau dan alkohol disalurkan ke dalam belanjawan kesihatan, khususnya untuk program mencegah dan merawat NCD di kemudahan kesihatan awam,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan