AM > BERITA

Pemilik Boleh Didenda Jika Pelihara Baka Anjing Terlarang-MBPP

25/09/2024 02:55 PM

GEORGE TOWN, 25 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan orang awam agar tidak memelihara anjing dalam senarai baka terlarang kerana mereka boleh didenda RM200 dan tindakan merampas haiwan itu boleh dilakukan sekiranya ingkar.

 Ahli MBPP Quah Boon Lim berkata terdapat tujuh baka anjing terlarang yang disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang  bukan sahaja tidak boleh dibawa masuk ke negara ini, malah tidak  boleh dipelihara kerana dikhuatiri menyebabkan kecederaan kepada manusia walaupun dipelihara dengan baik berdasarkan faktor genetiknya.

Baka anjng terlarang itu ialah Akita, American Bulldog, Dogo Argentino, Fila Braziliero, Japanese Tosa, Neapolitan Mastiff dan Pit Bull Terrier.

“Majlis memandang serius kes gigitan baka anjing terlarang yang mengancam keselamatan awam dan ingin memberi kesedaran awam bahawa pemeliharaan baka anjing terlarang tidak dibenarkan sama sekali demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Tahun ini sahaja terdapat lapan kes gigitan anjing yang dilaporkan kepada pihak JPV Pulau Pinang dengan satu kes melibatkan baka anjing terlarang jenis Pit Bull yang berlaku di kawasan Bukit Gambir pada Februari lepas. Anjing berkenaan telah diambil oleh pihak MBPP dan dihantar ke pusat perlindungan haiwan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP di sini hari ini.

Quah memberitahu MBPP juga tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada baka anjing terlarang, justeru pemilik anjing dinasihatkan tidak memelihara anjing dalam senarai baka terlarang itu untuk menjaga keselamatan diri sendiri dan orang awam.

Sementara itu, seorang lagi ahli majlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam MBPP Benji Ang Ming Quan berkata pihaknya dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Persekitaran MBPP telah mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan poster hebahan ‘Baka Anjing Terlarang’ untuk mendidik orang awam untuk memahami sebab baka berkenaan tidak sesuai dipelihara di rumah.

“Bagi membolehkan maklumat ini disampaikan dengan lebih berkesan kepada orang awam,  Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran untuk mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat. 

“Pada masa yang sama, poster jenis baka anjing terlarang ini akan dimuat naik ke laman media sosial rasmi MBPP seperti Facebook, Instagram serta TikTok dan akan diedarkan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian pulau bagi tujuan hebahan,” katanya.

MBPP turut mengalu-alukan penglibatan organisasi yang ingin bekerjasama untuk menyampaikan mesej kesedaran di peringkat komuniti agar keselamatan masyarakat terjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan