DUNIA > BERITA

GOLONGAN REMAJA CHINA-AS BERSILATURAHIM UNTUK TAMBAH ELEMEN PROAKTIF HUBUNGAN BILATERAL

25/09/2024 04:03 PM

BEIJING, 25 Sept -- Golongan remaja China dan Amerika Syarikat (AS) diminta berinteraksi untuk saling mengenali dan bersilaturahim sehingga dapat menambah elemen proaktif ke dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Perkara itu dinyatakan Profesor Peng Liyuan, isteri Presiden China Xi Jinping ketika menghadiri kegiatan bertajuk "Shared Journey For China-US Friendship" anjuran Sekolah Menengah No.8 Beijing di sini petang semalam.

Dalam sesi temu mesra bersama rombongan hampir 100 remaja dari lebih 10 sekolah menengah di negeri Washington AS, Peng menyampaikan ucapan aluan kepada perwakilan guru dan pelajar dari AS yang berpeluang melawat China untuk mengenali dan mendapat pendedahan tentang keadaan negara itu dari sudut yang kondusif.

Peng berkata masa depan hubungan China-AS bergantung pada golongan remaja dan berharap mereka berkongsi pengalaman yang ditimba ketika berada di China dengan ahli keluarga, sahabat dan rakan sekelas, malah bertindak memasyarakatkan persahabatan dalam kalangan rakyat.

Selain itu, Peng bersama tetamu dari dalam dan luar negara menonton  pertandingan bola keranjang persahabatan melibatkan remaja China-AS dan menghadiahkan pingat peringatan kepada pemain pasukan kedua-dua pihak.

Pada hari yang sama, Peng juga telah menonton klip video tentang lawatan rombongan remaja AS di China kali ini, dan mendengar penceritaan perwakilan pelajar AS tentang pengalaman sepanjang pengembaraan kali ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Tinggi Lincoln AS, Logic mengimbau kembali lawatan Presiden Xi dan Peng di sekolah itu pada 2015.

Selain mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi atas keprihatinan dan sokongan terhadap pertukaran antara golongan remaja kedua-dua negara, Logic menyatakan bahawa beliau bersedia terus menyumbang kepada peningkatan kebersamaan dan persefahaman dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, setelah disajikan nyanyian bersama lagu bahasa Cina dan Inggeris, Peng bersama perwakilan pelajar mengikuti sesi bergambar beramai-ramai.

Lawatan guru dan pelajar AS itu adalah atas undangan Persatuan Persahabatan Luar China (CPAFFC), bertepatan dengan inisiatif Presiden Xi "mengundang 50,000 remaja AS datang ke China untuk berinteraksi dan belajar dalam tempoh lima tahun akan datang" yang diumumkannya di San Francisco, AS pada November 2023.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan