AM > BERITA

Hipertensi: Kebimbangan Semakin Meningkat Dalam Golongan Muda

25/09/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Dahulu hipertensi atau lebih umum disebut tekanan darah tinggi dianggap hanya melibatkan golongan berusia, tetapi kini semakin serius dalam kalangan rakyat Malaysia lebih muda khususnya berusia bawah 40 tahun, kata pakar perubatan.

 Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman) di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Jolene See Su Chen menggesa rakyat Malaysia supaya tidak memandang ringan terhadap trend yang membimbangkan itu.

Beliau menjelaskan bahawa peralihan terbabit disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup dan tabiat pemakanan sekali gus menyangkal mitos lazimnya tekanan darah tinggi hanya melibatkan golongan berusia.

“Salah tanggapan ini adalah berbahaya. Ia menyebabkan ramai orang muda percaya bahawa mereka tidak berisiko, sekali gus mengakibatkan pengabaian dan diagnosis lewat,” kata Dr Jolene sambil menambah ada sebahagian pesakit yang berusia lingkungan 20-an.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 menunjukkan bahawa 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga individu dewasa di Malaysia terjejas akibat tekanan darah tinggi. Lebih membimbangkan, 11.9 peratus tidak tahu bahawa mereka menghidap penyakit itu, dengan kebanyakannya berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun.

Dr Jolene berkata walaupun berdepan dengan risiko yang ketara, masih ramai rakyat Malaysia tidak menyedari status tekanan darah mereka, biasanya kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal.

Hipertensi yang ditakrifkan sebagai peningkatan berterusan tekanan darah pada atau melebihi 140/90mmHg dan disahkan melalui bacaan yang diambil pada sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan, adalah keadaan kronik dengan kekuatan tekanan darah pada dinding arteri tinggi secara berterusan. 

Bagaimanapun, bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah dianggap ‘berisiko, justeru individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat berkenaan perlu memantau tekanan darah mereka dengan teliti serta mengubah gaya hidup bagi membantu menurunkan tekanan darah.

Oleh itu, Dr Jolene menekankan setiap individu perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun dan sewaktu berjumpa doktor di klinik biarpun bagi masalah kesihatan yang lain.

“Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung perlu memantau tekanan darah mereka dengan kerap di rumah. Pengesanan awal adalah kunci untuk mengurus keadaan dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata gejala hipertensi termasuk sakit kepala, pening, sesak nafas, sakit dada dan hidung berdarah, maka jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk serta berpotensi mengancam nyawa seperti serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung yang tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan kehilangan penglihatan.

Dr Jolene berkata orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi serta membantu menurunkan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) yang dikaitkan dengan penyakit jantung.

Diet DASH katanya menumpukan terhadap melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak (daripada daging, ayam atau ikan tanpa lemak), selain penting untuk memilih makanan rendah lemak tepu dan trans yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses.

“Makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan senaman yang kerap serta mengekalkan berat badan yang ideal adalah langkah pencegahan utama," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengikuti rawatan yang ditetapkan untuk tekanan darah tinggi, menasihati pesakit yang baru didiagnosis supaya memandang serius keadaan mereka, melakukan perubahan gaya hidup yang diperlukan dan mematuhi nasihat doktor tanpa mengubah dos ubatan sendiri.

Dr Jolene turut mengingatkan tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh merosakkan saluran yang membekalkan darah kepada buah pinggang dengan teruk, sekali gus menyebabkan kegagalan buah pinggang dan merosakkan organ penting lain dengan lebih cepat dan teruk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan