SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: FOBIA DIEJEK, IKMAL FATHILLAH BANGKIT LEPAS GERAM DI KUCHING

25/09/2024 07:07 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Cemuhan diterima dengan dipanggil buta dan cacat ketika berada di alam persekolahan pernah meninggalkan kesan mendalam buat atlet Selangor Ikmal Fathillah Abu Arqam.

Bagaimanapun, Ikmal Fathillah berjaya bangkit melupakan ejekan itu dengan membuktikan manusia sepertinya tetap berjaya apabila mengakhiri kempen Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 penuh bergaya menerusia kejayaan membawa pulang tiga emas termasuk acara 200 meter (m) lelaki T13 (kecacatan penglihatan) hari ini.

Hujan  di Stadium Sarawak tidak menjejaskan larian atlet berusia 20 tahun yang melintasi garisan penamat dengan 23.75 saat (s) diikuti Ainur Haikal Danial Bahrudin dari Terengganu untuk pingat perak (24.97s) dan wakil tuan rumah Flexcyvius Michael Kete Bakar terpaksa berpuas hati dengan gangsa (25.33s).

Anak jati Sepang itu berkata beliau puas mengakhiri penampilan keduanya di Para SUKMA dengan cemerlang sekali gus diharap dapat membuka mata mereka yang pernah meragui kebolehan dan merendah-rendahkan dirinya sebelum ini.

“Ketika di waktu sekolah rendah saya pernah sertai kejohanan sukan pendidikan khas namun ianya dapat dihidu rakan sekolah lain dan mula diejek mereka.

“Saya sangat trauma dan tidak mahu beraksi dalam kejohanan tersebut sejak dari darjah dua sehingga tingkatan tiga sebelum seorang guru berjaya menggunakan psikologinya memujuk saya kembali bertanding,” katanya kepada Bernama.

Bermula dari detik itu, Ikmal Fathillah berkata beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha keras memastikan dirinya mampu mengecapi kejayaan di temasya dwitahunan itu biarpun tidak mempunyai jurulatih sebenar di sisinya.

Memandangkan kesibukan bergelar pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, beliau hanya berlatih secara sendiri setiap petang di kampus dan menggunakan khidmat dua jurulatih sambilan di hujung minggu menjelang Para SUKMA 2024.

Mengenai prestasinya hari ini, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Maklumat itu tetap lega dapat mengatasi cabaran berlari dalam hujan dan jauh meninggalkan pencabar lain untuk menyambar emas.

“Sepanjang aksi tadi, saya terpaksa berlari sambil cuba meniup angin bagi mengelak air hujan masuk ke mata saya dan kadang-kala cuba memejamkan mata. Kekurangan diri saya membuatkan saya sedikit sukar berlari dalam keadaan cuaca sebegini,” katanya.

Beliau memaklumkan mula mengesan masalah penglihatan ketika berusia lapan tahun akibat kuman yang menjangkiti kedua-dua belah matanya.

“Kebiasaannya saya hanya nampak tompok hitam di depan dan jika mahu melihat perlu mendongak ke atas,” katanya yang turut merangkul emas 100m dan 400m lelaki T13 kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan